Wednesday, December 28, 2016

DANGAL (2016) - Genderang Bingit Kemenangan

Kita tahu India akan menang di hujung dalam Dangal. Malah, dalam kebanyakan filem biopik sukan seperti ini, di hujung kita tahu mereka akan menang. Soalnya, bagaimana?

Di awal, Dangal sudah memberikan petanda - anda akan kabur sebentar, seperti kaburnya pandangan Aamir Khan menonton siaran langsung perlawanan gusti di kaca televisyen. Sehinggalah rakannya di atas bumbung itu mencuba dan terus mencuba (sambil Aamir terus bereaksi memberitahu sama ada siarannya sudah jelas atau belum) dan akhirnya berjaya, Aamir mengarahkan rakannya itu tetap di tempatnya sambil dia menikmati siaran tontonan yang begitu jelas.


Ini bukan sekadar kebetulan. Dari awal lagi, Dangal cuba menawan minda separuh sedar kita dan berkata, "Perjalanan cerita ini akan penuh dengan cubaan demi cubaan yang membuka pandangan baru demi pandangan baru sehingga pandangan lama yang sinis akan tertutup rapat sebagaimana terbuka luasnya kemenangan saat kekalahan tertutup kejap". 

Bukankah hal ini yang kita dapati ketika impian Mahavir (watak Aamir Khan) sudah seperti telur di hujung tanduk, seakan-akan takdir sudah membina sebuah tembok, hingga hasratnya itu mustahil dapat memecah masuk; apatah lagi keempat-empat anaknya perempuan, mana mungkin bisa masuk gelanggang perlawanan? 

Ini bijaknya pasukan skrip Nitesh Tiwari, Piyush Gupta, Shreyas Jain (ketiga-tiga mereka pernah bersama dalam Bhoothnath Returns (2014), calon Filmfare Award for Best Dialogue) dan Nikhil Meharotra, dalam "membersihkan" niat dan usaha Mahavir agar di akhir, apa yang mereka perolehi adalah keikhlasan tulen yang membawa kemenangan yang diingati dengan pasti sebagaimana ujar Mahavir kepada Geeta sebelum hari penentuan akhir, "Kalau kau peroleh perak, selepas beberapa hari, kau akan dilupakan. Sebaliknya, kalau emas, kau akan menjadi teladan."

Selain emansipasi wanita yang begitu ketara tetapi bijaksana dalam filem ini, pembinaan konflik yang keluar dari kebiasaan amat menarik perhatian. 

Kita sering mendapati konflik yang terhasil dalam filem biopik sukan seperti ini lahir daripada peristiwa kalah dan menang; sebaliknya dalam filem ini konfliknya diadun ke arah pertembungan yang membawa pertentangan nilai yang ketara antara Mahavir dengan jurulatih Geeta yang kemudiannya membarah kepada Geeta dengan Mahavir sendiri; ketika Geeta tidak langsung merasa apa-apa saat dirinya pada suatu keadaan sebetulnya kalah teruk di pentas antarabangsa (sekalipun dalam kalangan atlit nasional, beliau terbaik) dan terpelik, sanggup dirinya berasa tidak apa-apa malah bersetuju ketika jurulatihnya mengujarkan - "Ada orang tidak dilahirkan untuk hebat di pentas antarabangsa!". 

Dan cerita ini benar-benar berkonflik hanya setelah Intermission! Sesuatu yang agak jarang berlaku dalam filem-filem Bollywood (hanya akan berjaya sekiranya setengah filem jelas dan berjaya menangkap audiens sekalipun tanpa konflik ketara dan utama; jika tidak - terbakarlah panggung dibuatnya). Ini bagi saya sesuatu yang baru dan mengujakan.

Selain itu, bahasa sinema Dangal yang begitu cantik di mana skripnya bukan sahaja bertutur dengan baik dan puitis (sangat menepati maksud puisi, kata-kata terbaik dengan susunan pada masa dan tempat yang terbaik; lihat sahaja balasan kata perempuan muda rakan Geeta & Babita yang terpaksa kahwin awal); malah skripnya juga berkata-kata dengan imejan yang indah. 

Lihat konflik "kita bersukan untuk siapa dan apa" antara jurulatih Pramod Kadam (lakonan Girish Kulkarni, aktor terbaik National Film Award 2001 menerusi Deool) dan Mahavir. 

Jurulatih yang mahu memerangkap Mahavir dengan takhta pujian akhirnya hanya layak menerima sejambangan bunga yang tidak pernah dipedulikan oleh Geeta; lantaran yang terpenting bagi Geeta dan Mahavir ialah pingat emas pertama dalam arena sukan gusti; bukan untuk diri mereka tetapi untuk negara yang tercinta. 

Begitu juga imejan tanah yang semua sedia maklum begitu suci bagi warga India (lihat saja "Negaraku" India - Jana Gana Mana yang kaya dengan segala alam India dari perbukitan Vindhya and Himalaya, Sungai Yamuna dan Gangga malah Laut India; juga dalam Vande Mataram). 

Kata Mahavir, "Tanah ini, semakin kamu menghormatinya, semakin dia mengangkat kedudukan kamu nantinya". Kita semua berasal dari tanah. Selagi kita tidak pulang ke asal, selagi itu usaha kita tidak akan pernah berhasil selain gagal dan cuma menemukan sesal. Geeta hanya berjaya apabila dia kembali ke asal dirinya. Asal dirinya tidak lain tidak bukan - Mahavir. "Tanah" tempat dirinya lahir.

Pengakhiran Dangal paling menakjubkan. Jauh mengatasi retorik khutbah Kabir Khan (SRK dalam Dangal disiniskan dengan begitu rapi oleh Aamir haha; tema percintaan dalam Bollywood dilihat sudah ketinggalan zaman hanya layak untuk dilawak-lawakkan dan dikenang-kenangkan sebagai sesuatu yang manis sahaja; pusing Kajol pusing dalam DDLJ) dalam Chak De! (2007) apatah lagi Sultan (2016); Dangal membawa kita kepada asal kepada cerita ini - Impian hanya terlaksana apabila dari awal lagi engkau sudah mendengar bingitan bunyi genderang kemenangan - sekalipun dalam mimpi angan-angan!

Jaya hai!

10/10

Za'im Yusoff
http://zaimterbang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)