Aku tidak
peduli, kalau ada orang menganggap tulisan ini bukan ulasan apatah lagi
kritikan filem. Kalau Skop Production boleh menelanjangkan semua hal di hujung
cerita, apa aku peduli kalau ada spoiler di sini juga. Kalau takut spoiler,
pergi tonton dahulu – baru baca. Haha.
Selain itu,
ini suatu pengakuan - bahawa dalam tulisan ini, aku menuntuni lorong
Allahyarham Rahimidin Zahari, sosok penyair besar yang di hujung hayatnya tetap
segar (dan sabar) menulis ulasan-ulasan kepada puisi-puisi polos hasil bakal-bakal
penyair yang kalau aku di tempatnya, mungkin aku akan tonyohkan puisi itu ke
muka mereka kembali.
Ya, sombong
tetapi berbaloi demi sebuah kualiti.
Namun, Allahyarham
Rahimidin tidak begitu.
Dia melihat
potensi dalam diri setiap mereka hingga apa yang ditulisnya ialah apa yang baik
dari apa yang telah mereka tintakan, di mana Allahyarham memandu mereka bagaimana
untuk keluar dari daerah permulaan itu agar bakal-bakal penyair ini akan terus
berkembang dan membesar menjadi pohon kepenyairan yang tegar bukan pusar-pusar
ombak bertaraf busa berbuih semata. Hilang, lenyap ditelan pantai yang kejam;
sebaliknya perlu untuk membiarkan diri mereka ditelan angin, naik ke langit
menjadi awan, sebelum jadi hujan yang guyur demi menjadi penghuni luhur bagi sebuah lautan nan luas dan
dalam.
Lautan dalam
dan luas. Dalam pada ketidaktohoran. Luas pada saiz.
PENAMPAKAN DESOLASI
Dalam
sinema, bagi aku, kedalamannya diukur pada intipatinya yang melebur pada
falsafah, pemikiran, intipati, pesan (namakan apa sahaja) yang membawa kepada
makna yang ditonjolkan dalam karya sinema.
Keluasannya
pula adalah pada sisi teknik lahiriah yang digunakan, seluas mungkin teknologi
seterkini mampu dimanfaatkan dalam karya sinema – dalam Desolasi, kesungguhan
efek CGInya misalan, runut bunyi, warna dan apa-apa yang terpampang ditanggap
pancaindera yang lima.
Aku bukan
ahli dalam hal teknikal ini, tetapi hampir semua pengulas sekalipun betapa
mengherdik, tetap memberi kredit pada kemampuan pasukan produksi membersihkan
Kuala Lumpur yang penuh dengan lumpur kesibukan menjadi begitu cerah kesunyian (walaupun
ada satu babak, ada sebuah kereta di Bukit Bintang kelihatan sedang mendaki
jalan berbukit hehe). Dan aku tidak faham kenapa orang marah ada T-Rex,
ikan-ikan Nippon Paint, kereta kebal segala bagai sedangkan dalam dunia
Desolasi, hal itu logik memandangkan :
“Aiman, apa
yang awak mahu lihat, itulah yang akan muncul”, doktor itu memberitahu.
Hal ini
mengingatkan aku pada sebuah filem pendek, Drink (2015) [pautan : https://www.youtube.com/watch?v=KkPgGhYvoi8&feature=share]
juga sebahagian dapatan dari Bruce Almighty (2003); bahawa manusia semahu
apapun mahu menjadi Tuhan, sekalipun sudah diberi kemampuan untuk melakukan hal
itu, tidak akan berupaya membawa kesempurnaan lantaran manusia tetap kekal dengan
sifat kemanusiannya yang terhad dan terdedah pada cacat.
Aiman
mahukan kesempurnaan dalam kehidupan yang nir-masalah tetapi terlupa
keterbatasannya sebagai insan yang tidak mampu melihat keluar daripada apa yang
ingin dilihatnya hingga hal itu membawa kerancuan imej-imej yang mengacaui
kehidupannya sekalipun sudah berada dalam dunia Desolasi yang begitu dia
inginkan.
Sungguh
cantik hal ini diungkapkan oleh bahasa sinema Syafiq ketika lukisan-lukisan
yang dicatankan Aiman persis Picasso pada babak-babak awal dan konflik naratif
hingga mengingatkan kita pada kata-kata Picasso :
“My whole
life as an artist
has been
nothing more than
a continuous
struggle
against
reaction, and
the death
of art”.
Bukankah
Aiman meneruskan “struggle” juangnya sendiri dalam menentang reaksi guru, ayah
dan sekeliling yang begitu melenting saat persoalan demi persoalan terpelanting
dari dalam gelodak pemikirannya yang begitu bergelojak, melalui
lukisan-lukisannya?
Lukisan-lukisan
itu pula menjadi “surat tanda pemergian” Aiman ke dunia Desolasi saat Ayahnya
baru teringat untuk mencari sebarang nota dan surat kalau-kalau ditinggalkannya
sebelum pergi ke dunia yang dia inginkan.
Ini bagi
aku, cukup cantik. Hanya bila Ayahnya “bermuhasabah” melihat kesan-kesan
reaksinya terhadap “struggle” Aiman sedari kecil melalui lukisan-lukisan
tersebut, barulah sempurna kesedarannya untuk memeluk Aiman semula (lihat
perubahan watak Ayahnya terhadap Aiman setelah babak itu).
Lihat juga,
bagaimana prop lukisan Picasso Aiman berubah kepada lukisan seni khat yang kita
tahu membawa makna perubahan juang seni dari konflik emosi bergantung pada
ragam insani kepada kebebasan menikmati kesedaran berTuhan sebagai manisfestasi
tertinggi.
Dalam
Desolasi, kita dijentik dengan permainan soalan dan jawapan. Apa yang aku dapat
ialah –
Apakah
soalan dari Tuhan? Ujian.
Apakah
jawapan dari Tuhan? Kesedaran.
Dan mengakui
hidup itu ujian untuk mendapat kesedaran adalah paling mencabar. Aiman hanya
bergerak kepada solusi setelah melihat langit buat kali ketiga, dengan menyerah
diri melalui pengakuannya terhadap kesukarannya memahami ujian dari langit.
Begitulah
juga kita sebagai manusia, hanya setelah kita merendah diri, barulah kita mampu
meredah belantara ujian yang menghasilkan jawapan di akhir.
Penyerahan
diri ini ialah kepercayaan kepada kuasa tertinggi itu. Hanyasanya dengan penyerahan
diri, kepercayaan itu datang. Bila kepercayaan tiba, barulah kesedaran mampu
muncul. Tanpa kesedaran, hakikat apapun selamanya terhijab. Solusi itu ada,
malah mungkin di hadapan mata (kunci penyakit Aiman yang baru diketahui olehnya
ketika dewasa) tetapi kita buta melihatnya.
Penyerahan (dengan membuang kepentingan diri, sepenuhnya pada Illahi) yang membawa kepada kesedaran ini dalam bahasa puisi yang tinggi seperti ungkapan Maulana Rumi ialah :
Penyerahan (dengan membuang kepentingan diri, sepenuhnya pada Illahi) yang membawa kepada kesedaran ini dalam bahasa puisi yang tinggi seperti ungkapan Maulana Rumi ialah :
Dalam kehidupan ini,
hanya dengan menjadi sebekas kosong
barulah diri bisa terapung
atas lautan yang terbentang
melorong sampai ke pulau hakiki.
Dalam
Desolasi, kesedaran Aiman lebih jelas terungkap apabila dia tahu dia upaya
menjadi kembali hitam namun dia menahan kemahuan dan kemampuan jahatnya itu
lantaran sedar kesannya hanya membawa kemusnahan kepada dirinya semula. Cantik
cuplikan bayang hitam digari ketika Aiman yang buta sedang mencatan lukisan
khat.
Kesimpulan
lain yang biasa tetapi tidak kurang menggugahnya ialah - Tuhan kacau hidup kau
sehari sebab nak buka jalan utk kau tenang lagi 10, 20, 30 tahun, malah lebih
daripada itu - seperti paparan video kecil yang menginsafkan ini : https://www.facebook.com/syedmohd.norhisyam/videos/1525675680795462/
Musibah ternyata
rahmat yang ditangguhkan sebentar cuma.
PENGUCAPAN & PENGUNGKAPAN DESOLASI
Ada yang
mengelar pengucapan Desolasi sebagai khutbah dalam nada tarbiyyah sentap.
Jujurnya, aku tidak ada masalah dengan khutbah kalau pengucapan khutbah itu seperti
pengungkapan & pengolahan Syeikh Hamza Yusuf; malah rasanya mahu terus
terpaku mendengarnya dari Subuh hari ini sampai Isyak esok hari.
Apakah
pengucapan & pengungkapan Desolasi sebagus itu?
Ralat pada
Desolasi adalah pada ucapannya bertele-tele khususnya pada plot-plot awal yang
tidak begitu mengesankan (malah boleh jadi memualkan) dan sebenarnya dibidas
oleh Aiman sendiri ketika menjawab saranan watak Pekin :
“Kau tak
yah bagitau aku lah, orang di luar sana semua dah tahu!”
Menariknya,
setelah ucapan itu, pengucapan Desolasi semakin menjadi baik khususnya pada
suara-suara Bella yang diadun dengan begitu bagus dan kena meski bersahaja.
“Apa bukti
awak ini bukan syurga?”
“Kalau ini
syurga, pertelingkahan ini tidak terjadi”
Terputus
terus angan-angan aku mungkin ada raksasa muncul entah dari mana.
“Awak kata
sudah 10 tahun di sini.
Kenapa awak tetap solat sedangkan
harapan awak tidak
dikabulkan?”
“Kita solat
(baca : berTuhan) untuk dapatkan sesuatu
atau sebab Tuhan itu berhak disembah?”
Menariknya
ungkapan-ungkapan ini tidak muncul dengan buat-buat namun ia muncul sesuai
dengan relevansi naratif cerita pada waktu itu.
Ungkapan
pertama itu untuk merasionalkan bahawa Aiman & watak Bella memang sedang menghadapi
satu masalah (seperti manusia yang terlalu selesa hingga terlupa dunia ini
bukan tempat ujian) hingga solusi perlu disegerakan.
Ungkapan
kedua pula untuk memberitahu Aiman bahawa di sana ada beza ikhtiar (pada hati
manusia yang berhajat keberhasilan usaha) dan tawakal (pada hati manusia yang
melepaskan segala-galanya pada Tuhan yang Maha Merdeka). Dan kita tahu, tidak
salah untuk bersolat untuk mendapatkan sesuatu seperti solat hajat malah solat
fardhu untuk berhajat mendapatkan kelayakan mukmin di sisi Allah Ta’ala.
Namun, di
sisi yang lebih dalam, kita sedar bahawa perbezaannya adalah pada tahap kefahaman
dan martabat keimanan seseorang. Seperti ungkapan iman seorang pedagang seperti
berjual beli dengan Tuhan, iman seorang hamba yang takut dicemeti tuannya dan
iman seorang kekasih yang bebas mengasihi Kekasihnya.
Lantaran
itu, manusia yang beriman pun terpecah kepada dua golongan (rujuk surah
al-Waqiah pada tafsiran tiga golongan manusia di Mahsyar). Golongan beriman
yang khusus dan umum.
Berkata
guru kami, as-Syeikh Hafez al-Tilmisani hafizahullahuta’ala, mereka yang
terdiri daripada golongan tanpa hisab di hari kiamat, yang termasuk golongan
beriman yang khusus itu diawali maqam mereka berdasarkan tahap tawakal mereka. Semakin
tinggi tawakal mereka pada Allah Ta’ala, semakin tinggi maqam dan keawalan
mereka melangkah ke syurga.
Imam Sufi
yang besar, al-Imam Abu Yazid al-Bisthami qaddasa Allahu sirrahu pernah
bermadah,
“Apakah itu
syurga?
Syurga
hanyalah mainan
dan
kesukaan anak-anak.
Aku hanya
mencari
Dzat Allah.
Bagiku syurga
bukanlah kenikmatan sejati.
Dzatnya
menjadi sumber kebahagiaanku,
ketenteraman
yang menjadi tujuanku.”
Hingga kita
menyembah Tuhan bukan kerana berhajat; tetapi kerana dia berhak, lantas solat
kita memenuhi hakNya dengan melunaskan tanggungjawab seberapa kejap. Kita tahu,
maha belas Tuhan dan balasannya adalah sesuai dengan kepemurahanNya serta
kebijaksanaanNya. Lantaran itu, Nabi Ibrahim alaihissalam tidak ralat untuk
menyembelih anaknya sendiri, selagi baginda tahu itu adalah wahyu dari Maha
Segala Tahu.
Malah, kebetulan
terjumpa watak Doktor itu di persimpangan jalan oleh watak Jalal bersama watak
Pekin terlebih dahulu dilapik dengan ingatan kehendak Tuhan jika berkenan
membantu, cuma perlu sekelip mata – lantas ia menjadikan Deus Ex Machina dalam
babak ini begitu relevan dengan kehendak naratif sekalipun Syafiq Ghazali dalam
novel Jahat (FIXI) pernah berkata : Kebetulan ialah bagaimana takdir berjenaka.
Syafiq juga
tidak menempel ayat al-Quran seperti pengkarya lain khususnya dalam filem-filem-seram-ustaz-datang-lawan-jin;
tetapi dia memaknakan al-Fatihah pada permulaan dengan pengakhiran karya dengan
pembukaan soalan dan penutupan jawapan yang terang dan jelas.
Hal-hal
sebegini yang terpuji dan alangkah indahnya kalau Syafiq Yusof mengetatkan
skrip Desolasi sebegini kental sepanjang penceritaan, malah seni senimanya
juga.
Mungkin
Syafiq mahu lakukannya tetapi terpaksa tunduk dengan kehendak meningkatkan
kebolehpasaran filem ini untuk massa di luar sana; sampai dia tercangkuk pada
lenggok SKOP Production seperti selalunya; hingga di akhir apa yang aku dapat –
Syafiq seupayanya menyimbangkan kemampuan filem ini antara cenderung menjadi art-movie
& pop-corn movie (meski lebih menghampiri pop-corn movie). Pendeknya, dia tetap
turut mahu bermain “deep” dengan seni senimanya; tetapi tidak terlalu berat,
sampai orang tak faham; atau terlalu bodoh, sampai wajib dikecam.
Syafiq
sepertinya mengumpul pengaruh dari kedua-dua wilayah, agar apa yang bakal dihidangkannya
nanti di masa hadapan, andai lebih berkualiti dan sinematik akan lebih
memancing khalayak yang lebih besar.
Mungkin dia
tidak mahu terlalu cepat membesar menjadi another “Hanyut” & “Interchange”
lantaran dia sedar khalayak tempatan belum cukup matang menjamah hidangan
nuansa internasional seperti kedua-dua karya itu; namun dengan percik-percik
sinematik yang diberinya dalam Desolasi (dan jangan lupa dalam SAM dan Abang
Long Fadil); dia mahu pastikan bila sampai saat dia menghasilkan another “Bunohan”
atau “KIL” itu sepenuhnya, khalayak kita sudah mahu dan mampu menerima seluas-luasnya
seraya sinema kita tidak lagi meratap sayu lantaran kedunguan penonton tempatan
yang belum benar-benar bersedia. Ini telahan aku.
Apapun, tentang
Desolasi ini, kita boleh terus bergaduh berkenaan apa darinya yang pandai dan
bodoh. Yang pasti, harapan terhadap kemajuan sinema tempatan di masa hadapan
tampak indah menyinsing apatah lagi setelah Rewan Ishak (KIL yang aku sangat
minat) & Syafiq Yusof sudah berbincang sesama mereka (rujuk twitter Rewan,
tengah malam 12 Disember 2016).
Za’im
Yusoff
12-12-16,
3.42 am
p/s :
Engkau mungkin bertanya. mengapa aku begitu mahu menulis tentang Desolasi?
Shamsul dan Syafiq membawa gagasan hidup yang bukan kecil. Mereka membawa Islam,
yang usia juangnya sejak penciptaan manusia hingga kemusnahan alam. Soalnya,
sejauh mana mereka mampu semakin bijaksana dalam membawa gagasan besar dan
mulia ini dalam karya-karya mereka seterusnya? Apakah mereka mampu menjadi
tukang seni yang benar-benar meramu, bukan merapu lalu, menjadi jamu pusaka
turun-temurun?
Mudahan
Allah Taala terus membimbing mereka. Dan kita semua.
Terpaku saya baca pena penulisan ni..
ReplyDeleteRegards:
CkinSite
Alhamdulillah, moga bermanfaat. :)
DeleteHarapnya terpaku-paku, jangan sampai paku tercabut jadi pontianak hehe :D
Terima kasih atas komen!
Terbaik..
ReplyDeleteAlhamdulillah, moga bermanfaat :)
Delete