Sunday, April 8, 2018

64 Ngomelan Dalam Membedah #Dukun (2018) Oleh Za’im Yusoff


1. Ini bebenang #thread apa aku dapat pasal #Dukun akan diupdate dari semasa ke semasa, gitu. Mungkin ada spoiler. Lebih baik baca lepas korang tonton di sinema, ya! Rating aku bagi filem ni : 7.5/10

2. Aku takkan sentuh benda-benda obvious dalam thread ni sebab rasanya ramai lagi akan cakap, so it's just repetitive. Aku cuba kongsi benda lain yang aku rasa dalam #Dukun

3. Bahasa dalam #Dukun tersusun cantik - ada yang sampai tahap puitis. Contoh, "keinginan untuk bersetubuh sama dengan keinginan untuk membunuh" (ini rujuk al-nafs al-haiwaniyyah dalam discourse Imam Ghazali).

4. Bahasa visual Dain sangat kemas. Contoh, lihat waktu Karim sampai ke 'dunia ghaib'. Dia sampai, kereta polis keluar. Dalam minda separuh sedar, minda kita dah tangkap tentang serbuan itu sebenarnya.



5. Kita dipertonton adegan 'sebenar' dalam ritual Diana sedangkan Joey sebagai saksi beri keterangan apa yang dia 'persepsikan'. Ini kritik terhadap post truth (feelings have replaced facts) seperti Gambar A. Satu lagi masa part Nadia "terima legasi Diana".

6. Contoh lagi, bila Daud cakap, "Orang sekarang sembah ke pelbagai sudut muka bumi, aku harap bila kes ni dah habis, kau masih menghadap Mekah." Just wow sebab dia nak mulakan falsafah "sentral" dalam Dukun.

7. Falsafah sentral ini juga Diana guna dalam menyembunyikan "mangsa-mangsa terbanyaknya". Daud tahu akan hal itu atas intuisi/gerak hatinya. Seakan-akan bagitau kita “yang baik, tetap baik bila kembali ke sentralnya (iman). Yang jahat juga kuat bila balik ke sentralnya (Diana istiqamah dgn ritualnya).”

8. Aku suka #Dukun juga sebab dia "be fair" to "evil" side. Legasi Diana diteruskan bila orang memilih untuk bersama kejahatan. Hanya yang memilih iman akan kekal bersama kebenaran. Dan ia hal berterusan sampai kiamat dan ini logik - di akhir nanti ada Dajjal, Yakjuj Makjuj etc.

9. Aku suka bahasa dakwah Dain. Contohnya, bahasa Imam meski masih 'preachy' tapi tidak se'corny' Munafik. Lihat awal Imam sebut, "Mengenai agama ke atau mengenai undang-undang?" Menunjukkan Imam hormat Karim sebagai peguam (respect of authority).

10. Dan banyak wits (witty) yang menjadi bukan komedi murahan. Lawak bola Blont dengan Nam Ron yang silang dengan kes. Contoh lain,"Tuan Haji, kalau orang hilang apa patut saya buat" Selamba dia jawab, "Itu kena buat report polis" Haha witty! Karim balas, "Tak tak, maksud saya bukan secara nyata".

11. Ada dua hal yang terkucil sikit. 

a) Apasal Nadia marah sangat dengan Karim sampai rebel lari dari rumah? Don't think so sebab "dirasuk" Diana.

b) Apa cerita pemberontakan wanita Batak sebenarnya? Agak kabur.

12. Dain ni jelas "membina auteur" tersendiri dengan subjek budaya. Dalam Interchange, dia main gambar kaum Orang Asli Borneo; dalam Bunohan dia main budaya tomoi; dalam #Dukun dia main ilmu hitam bangsa Batak. Dan dia guna sehabis baik dan semudah mungkin utk audiens faham.

13. Keseluruhan filem #Dukun nak kata kita semua adalah Karim - ditimpa masalah, hilang orang terdekat, orang terdekat banyak drama dekat belakang etc. etc. dan tipu daya dunia ajak kau join evil force, but it is in your hand, nak join depa or stay in faith strong.

14. Bagi aku, #Dukun bijak dalam menggunakan hype kes Mona Fendy - amik elemen-elemennya seperti pemberian Tongkat Batak (in line dengan gosip tongkat, songkok Sukarno dalam kes Mona); tapi Dain bina naratif fiksyen sendiri. #Dukun is more into inspired by Mona rather based on actual events.

15. #Dukun is indeed our version of "The Exorcism of Emily Rose". Court case dia believable and twerked according to the genius play of a courtroom. Really want to hear from @izzatjonid or @NaufalAntezem yang terer pasal court ni after watching #Dukun.

16. Aku rasa ada hikmah #Dukun @AstroShaw ni lambat keluar. Bila dah lama tapi orang still ternanti-nanti nampak Dukun malar segar sebab kes Mona pun very impactful to our nation. Dan zaman ni zaman viral, tak macam 2007 tu zaman orang baru sangat dengan alternative media.

17. Bab sensitiviti kes Mona, sangat respect Dain yang menjaganya. Watak Adlin tu bukan berkahwin tapi bujang. Latar masa dalam setahun tak macam kes Mona. Dan tema "anak tumbal" (rujuk Pengabdi Setan 2017) mengukuhkan bahawa #Dukun is merely inspired by Mona. So isu sensitiviti tak ada pun sebenarnya.

18. Satu lagi, dari awal kalo korang perasan dialog semua guna kosa kata BOMOH - bila dalam filem start guna #Dukun? Bila soal jawab mahkamah tanya Diana kerjaya bomoh, Diana jawab - kerjaya saya ialah DUKUN! 

Karim : "Awak bermaksud mengatakan bahawa yang awak seorang... bomoh?"

Diana : (geleng kepala) "Saya seorang... DUKUN!"

Kau tengok dia punya beza semantik!

Macam beza betina dengan perempuan, jantan dengan lelaki, martabatnya lebih tinggi. Maqam tinggi weyh Dukun ni as compared to Bomoh! Power semantic script! 

(Sepanjang dalam cerita, hanya Diana guna kosa Dukun; satu beza semantik; satu lagi self-obsession).

19. @AzizMOsman setelah menonton #Dukun kata "Sangat rare pengarah yang sentiasa tepat mendapat sudut kamera. Dain Said ‘Hitchcock’ Malaysia"

Siapa Hitchcock ni uols? 

Aziz referred to Alfred Hitchcock, bapak sinema dunia! 

Antara quote dia, “I'm interested not so much in the stories I tell as in the means of telling them”.

20. Hitchcock ni sifu agung teknik filem psiko & suspens dan sinema sebagai seni bukan sekadar lakonan macam kita faham - ia juga tentang bagaimana bunyi bercerita, prop berperanan (mise-en-scène misalnya) dan kehebatan Hitchcock pada permainan kamera (Camera Narration).

21. Cuba baca link ni : https://www.gamesradar.com/the-secret-messages-movie-camera-angles-send-you-without-you-realising/ dan banding dengan pengalaman korang tonton #Dukun mainan mata terutamanya Karim, Diana, Daud, Nam Ron juga Hasnul Rahmat; sangat-sangat memukau dan Dain berjaya capture "the best physical part of their best acting at the best time".

22. #Dukun is another level of horror movie; and aku rasa Dain boleh pergi lebih dalam lagi tapi ada part-part dia tone down supaya audiens dapat terima. Kekuatan @Umieaida adalah kemahiran dia jelmakan bait-bait skrip yang baik dengan patah-patah jeda yang betul; sampai buat kita terngiang-ngiang.

23. Humming Umie Aida akan sentiasa diingati macam kita ingat humming Maya Karin masa alunkan Gurindam 12. Cuma aku suka bila part lagu Diana didedahkan sikit demi sikit. Dan hanya Elyana sempurnakan part chorus di hujung yang ada "bayu something tu", it means cerita dah makin complete!

24. Siot la @Umieaida & Elyana dalam HLive! Istiqomah dalam karekter haha 

Haha tontonlah! Dah berhijab pun, masih menakooooooooooootkan!


25. Oh ya, 1 lagi - very-very interesting for me - Kenapa Dain dalam #Dukun tonjolkan Karim tu dekat beranda Masjid Jamek? Kenapa bukan dekat dalam dewan utama solat? Bagi aku, dia nak tunjukkan karekter Karim yang tau dia banyak dosa, so tak layak masuk rumah Tuhan lagi, so dia merayu di depan rumah Tuhan!

26. Dan kenapa Masjid Jamek? Jamek dari jami' bermaksud menghimpunkan. Baca thread atas pasal "falsafah sentral" dalam #Dukun dekat KL, orang jahat pi sentral kejahatan (jumpa bomoh), ingat tak Dania cakap "saya kena wujud barulah masyarakat dapat berfungsi dengan sempurna!"

27. Tapi Dain bagitau kita, dalam hiruk pikuk kau sibuk dengan dunia dekat kota metropolitan macam KL, ada tempat sanctuary sendiri di "sentral KL" - ya, masjid. Masjid Jamek di sini jadi simbol falsafah sentral kaum beriman yang junjung kebenaran. #Dukun

28. Bagi orang beriman, sanctuary adalah sentralnya. Dalam Lemony Snicket (2004), sanctuary was best defined as "Sanctuary is a word which here means a small safe place in a troubling world. Like an oasis in a vast desert or an island in a stormy sea." #Dukun

29. Anyway, let me be honest. Ya, aku tonton the leaked version of #Dukun

BUT, when I watched it on cinema - it was REALLY REALLY DIFFERENT! 

Dukun memang dibina untuk sinema! Maka, tontonlah ia beramai-ramai sekalipun anda sudah tonton leaked-nya yang baru 3/4 of the story tu.

30. Oh ya, satu lagi dalam #Dukun - Karim adalah peguam ke-24 yang diambil untuk bela Diana. 23 peguam lain telah ditolak oleh Diana. Kenapa 24? Haha. Kenapa dekat apartment ada 23, 23A etc? No 4 tu nombor sial dalam budaya kaum Cina dan dimaklumi kita rakyat Malaysia! Ertinya, Karim bakal menghadapi situasi yang SIAL dengan membela OKT bernama Diana Dahlan daripada Pn. Aishah itu! Hahahahaha hebat kan :)

31. Nak goosebumps lagi pasal #Dukun ? Haha

NADIA adalah warisan DIANA

N A D I A - D I A N A ---- binaan daripada huruf-huruf yang sama :)

Cantik penamaan wataknya! Sebuah anagram! :)

32. OMG baru tahu dari HLive! yang scene Umie Aida merangkak macam spider tu dilakonkan selama 8 jam di mana adegannya itu dijayakan dengan imej tindihan dengan adiknya Betty; kepalanya Umie, kakinya Betty. Ha gituuuuuuu malah Betty juga salah seorang banduan yang ditugaskan 'mengajar' Nadia kalau korang perasan.

33. Berkenaan pemberontakan Batak, ada 1 dialog saja : Masa Daud jumpa Talib, Daud cakap : "Ini simbol ahli sihir yang digunakan oleh dukun-dukun perempuan yang berpaling tadah dari kaum Batak Utara".

Tapi benda ni tak penting sbb Daud kata :

"Lupakanlah Talib. Jawapannya ada di tangan kau."

Maka, aku sentap seakan-akan Dain bagitau aku – 

"Lupakanlah Zaim. Jawapannya ada di tangan kau." 

Haha. So, soalan terkucil di atas thread awal tak penting sebenarnya. So forgiven!

34. Selain tu, apa benda besar aku jumpa lagi dalam #Dukun ?

Sebenarnya, dalam #Dukun - ceritanya tentang pertembungan siapa?

Diana VS Polis? 
Diana VS Karim? 
Bukannnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnn 
sebenarnya Diana VS Daud!!!!!!!! 
Polis & Karim adalah jambatan sahaja!

35. Daud tak pernah jumpa Diana. Tapi Daud orang yang ada hati dengan iman kental. Daud kata - "Aku mungkin tak ada kepakaran saintifik kau. Tapi aku percaya pada gerak hati aku. Tapi bagi kebanyakan orang itu semua tak cukup." 

Ini sama dengan hadis : اتَّقُوْا فِرَاسَةَ الْمُؤْمِنِ فَإِنَّهُ يَنْظُرُ بِنُوْرِ اللهِ

"Berhati-hatilah terhadap firasat orang mukmin, kerana sesungguhnya ia melihat dengan cahaya Allah". 

Daud simbol orang mukmin ini. Penulis khat. Bahasa semantik tinggi. Ciri-ciri orang yang berhikmah. Dia ada rasa. Rasa dia dari ilham. Dari Tuhan. Dan Daud bantu kedua-dua Karim & Talib dalam #Dukun.

36. Walaupun Daud tak pernah jumpa Diana, dia tahu dia perlu bantu selesaikan meski dirinya terkorban. Maka, Daud adalah wira sebenar #Dukun - di sini, kita belajar satu benda besar. 

Kalau kita tengok, Daud berfungsi sebab perhubungan "sahabat" dengan Karim & Talib. 

Daud sahabat khidmat niaga Karim sebab dia bantu Karim cari Nadia. 
Daud pula sahabat detektif Talib. 
Karim & Talib beruntung sebab Daud sahabat mukmin yang dapat ilham dari Tuhan.

Sebab itu, ingat pesan orang-orang tua - Empat benda jangan tinggal walaupun kau jahat macam mana pun; Jangan tinggal Allah (syirik), Jangan tinggal Solat, Jangan tinggal Majlis Ilmu, dan Jangan tinggal Sahabat Soleh! Sebab semua ini talian hayat kita dunia akhirat!

37. Korang kan suka benda-benda konspirasi kan? 

See - #Dukun - pertembungan #Diana VS #Daud seperti pertandingan antara orang yang berdiri bersama #Devil VS #Dieu (nama lama bagi kata Tuhan, Proto-Indo-European *deywós; deus, deu, deiuos, deiwos) diarahkan oleh #Dain Said. Oh ya, kembar Diana juga namanya Dani lakonan Hasnul Rahmat.

Semua huruf D!!! 😊

38. Quote paling berseni dalam #Dukun dari Daud, arwah Ramli Hassan : 

“Bukan pasal rumah-rumah tu tetapi di mana letaknya. Tengok betul-betul. Syaitan berasal dari hutan gelap. Kau boleh jadi sesat di dalamnya. Baik kalau kau ada kompas. Orang sekarang sembah ke pelbagai sudut muka bumi. Aku harap bila kes ni dah habis, kau masih menghadap Makkah”

39. Yeay OST #Dukun lebih lengkap lagu "Merana Jiwa"!


Aduh mengapa hatiku kau lukakan
merana jiwa hatiku sengsara
Hmmm...Hmmm...Hmmm...

Merenung jauh ke dalam suasana
Menanggung nasib perasaan hiba
Hmmm...Hmmm...Hmmm...

Bayu bawalah hasratku kepadanya
Agar kau dengarkan panggilan nyawa

40. Oh, watak Hasnul Rahmat iaitu Dani adalah kembar lelaki-perempuan Diana! Dan perbualan mereka adalah visual narration! 


41. Cerita Umie Aida jilat dinding di sini :  


42. Dain berjaya mengangkat sisi orang alim/wali lari dari kebiasaan. Selalunya dipertonton wali mursyid; kali ini wali mastur. 

Wali mursyid - sebagai guru, jelas penampakan fizikal seperti tokoh masyarakat macam sosok-sosok para Wali Songo. Sebaliknya wali mastur yakni wali tersembunyi adalah mereka yang dekat dengan Allah tapi tak dipernampak tapi berfungsi bila waktu perlu seperti perihal Daud dalam #Dukun. 

Lihat saja bahasa lakon Daud yang begitu berseni. Selain contoh thread di atas, antara lain waktu Daud jumpa Talib, dia sebut 

Daud : 
Memang banyak yang berlaku antara kita, 
tapi pintu tu masih terbukak.

Talib : 
Seingat aku kau jugak yang tutup pintu tu.

Daud :
Dah lama dah aku bukak, 
cuma kau orang yang tak nampak.

Ada apa kau datang?

Lihat macam mana Dain guna visual pintu selari dengan "pintu peluang perhubungan Daud-Talib".

43. Fadli Akiti melalui reviewnya di (http://tontonfilem.blogspot.my/2018/04/dukun-2018.html) ada tulis tentang falsafah phallus #Dukun (tongkat sakti Batak vs tiang-tiang masjid vs 'tongkat lelaki' i.e kuasa pengaruh lelaki pada bentuk 'tiang'); ada lagi parallel signs antara "tulisan khat" vs "tulisan Batak"; secara simbolik Daud pegang "tulisan kebenaran" melalui khat manakala Diana dalam #Dukun guna "tulisan Batak"; jadi tulisan dalam #Dukun menjadi "pedang" yang menyampaikan makna kepihakkan antara pihak syaitan VS pihak Tuhan.

44. Dari segi naratif cerita seram, selalunya antara dua ekstrem - sama ada menangkan pihak kebenaran macam #Munafik atau menangkan pihak syaitan macam dalam #PengabdiSetan tapi #Dukun sangat real discoursenya; kebenaran dan kebatilan terus berlangsung di hujung cerita dan di akhir, ia soal PILIHAN.

45. Soal PILIHAN ini masih berlangsung sampai ke hujung #Dukun sebagaimana dihighlight oleh Fadli Akiti dalam ulasannya apabila imej Karim di luar Msjid Jamek di antara tebing dua sungai Gombak & Klang! Jadi dua pilihan - sama ada dgn KEBATILAN atau KEBENARAN, #Diana atau #Daud! Rujuk gambar B.

46. Babak mimpi Karim dalam #Dukun tentang Nadia yang hanya tinggal tangan terpotong tapi jasad hilang menunjukkan hubungan anak-ayahnya sebegitu, hal ini dikuatkan sindiran Diana, "Jangan risau, Karim; awak akan bertemu dengannya, tapi awak tak mampu milikinya!" Dari awal lagi Dain dah bagi hint apa hujung cerita ni!

47. Sebenarnya #Dukun sangat 1Malaysia. Kalau Fadli Akiti kata Diana sosok politikus; saksi-saksi dalam court yakni rakyat-rakyat terdiri daripada Melayu (Joey), India (watak bekas driver Adlin selain Joey), Cina (tukang barang kemas yang jual RM1.2juta barang kemas tu). 

"Saksi-Saksi" takut dengan pengaruh "Diana". 
"Rakyat" pula takut dengan pengaruh "politikus".

Maka kenalah Dukun diluncurkan saat di ambang PRU ni!

48. Setelah tontonan kedua #Dukun aku dapat banyak benda especially fasal prop/costume yang Dain pakaikan pada watak. Let's begin with Diana first. Diana pakai empat warna baju - merah, hitam, putih dan kelabu. 

Dia pakai warna pakaian pada waktu-waktu tertentu untuk menyampaikan makna-makna tertentu juga. Hal ini juga kau boleh jumpa dalam banyak filem yang direktornya berseni. Contoh tempatan yang terdekat adalah dalam KIL (2013).

49. Kita mulakan dengan warna MERAH. Warna #PerempuanKebayaMerah. Warna merah digunakan untuk introduction yang penuh sensation, gaining the spotlight for the first time. Pertama kali Diana di court. Pertama kali Karim temu Nadia semula! Mula dengan warna merah. Sebab itu, poster Dukun depa guna warna merah untuk tarik perhatian. 

Kira warna merah ini macam warna untuk bagitau “Akhirnya kita bertemu,…para penonton (bagi filem Dukun”, “Akhirnya kita bertemu,…rakyat Malaysia (bagi waktu Diana first time pergi court, kan dia sebut – Terima Kasih Malaysia!), “Akhirnya kita bertemu,…Karim (bagi waktu Nadia bertemu semula Karim). Rujuk Gambar C. 


50. Warna hitam - warna waktu pendedahan hakikat sebenar Diana. Masa scene Diana berfalsafah semasa awal jumpa Karim dan semasa dalam court waktu dia discoursekan hal peranan #Dukun dalam masyarakat. Hitam - warna glam bagi dunia hitam! Rujuk Gambar D.


51. Warna kelabu - sebenarnya kelabu berlabuci, warna kesukaan Diana masa "buat show"; dia pakai kelabu untuk "show di club", baginya dirinya menghairahkan waktu tu, sama masa kena gantung, "show terakhir", ingat tak dia sebut, "Mana tau kalau tukang gantung ghairah tengok saya!". Rujuk Gambar E.


52. Warna putih - waktu dia dikantoikan oleh tukang barang kemas, waktu dia tahu dia dah tak boleh buat apa dah, juga masa hukuman dijatuhkan! Warna putih dipakainya masa dia menuju "kekalahan" dalam #Dukun. Dan semasa ritual juga Diana pakai putih juga, tapi nak memberi maksud bahawa dia tulus tetapi mangsanya yang sanggup bersekongkol dengan kejahatannya itu hanyasanya kotor. Rujuk Gambar F.


53. Diana cakap "kenapa kau menipu?"; bagi aku tukang barang kemas tu cakap betul tapi Diana marah sebab that's the only keterangan yang membuatkan dia nampak bersalah dalam kes ni menyebabkan dia tak dapat nak mempermainkan mahkamah (baca : masyarakat) lagi, jadi dia marah bila "her show on the court" bakal berakhir; sebab dia tahu hal itu, maka dia segerakan untuk pass legasi tu pada Nadia.

So, marah Diana pada tukang barang kemas tu macam marah budak-budak bila kantoi (like - eh, b*b*lah kau kantoikan aku!). But later on, she accepted her fate. Sebab kalau tengok, Dato Lim as pendakwa raya tanpa keterangan tukang barang kemas, dia tak boleh sabitkan Diana as jenayah melainkan kemalangan.

54. Nak benda konspirasi? Haha.

Nama - NADIA 
Nama penuh, Nadia Abdul Karim - N A K
NAK kependekan bagi ANAK
Soalnya, anak siapa?
Karim atau Diana?
Masa soal jawab last, ditanya kepada Diana, “Apa nama kamu?”
Kemudian, terus tukar ke scene Nadia, “....Nadia Abdul Karim”
Sign of legacy dalam #Dukun!

55. Wacana ouroboros dimulakan dengan cantik dalam #Dukun dia bermula dengan watak Karim masuk dalam mimpi jumpa isteri & anak bagi janin dekat dia (babak seram mistik), kemudian terus ke scene Talib perkenal Ouroboros. Maka, babak seram mistik tu bukan sekadar ada tapi betul-betul bermakna!

56. Berkenaan Ouroboros, korang boleh baca wiki ini : https://en.wikipedia.org/wiki/Ouroboros untuk dapat idea yang lebih jelas tentang lagenda tentangnya dan wacana ouroboros (bentuk bulat naga/ular makan ekornya) sentiasa ada di mana2, di rumah Karim dan di bilik tali gantung! Rujuk Gambar G.


57. Frame visual Dain dalam #Dukun juga power. Frame jeriji yang jatuh pada Karim waktu hantar barang kemas Diana ertinya Karim "dipenjara" Diana untuk cari Nadia sehingga akhir scene itu. Ini biasa dalam filem. Tapi Dain extend lagi visual ini ke next scene, lubang-lubang kolong yang nampak seperti pengap jeriji penjara diakhiri open space, bermaksud kes akan selesai sebab lepas tu mereka jumpa kotak mayat-mayat. Rujuk Gambar H.


58. Prop makanan dalam #Dukun juga bercerita tentang status semasa fisiologi Karim, ada 3 jenis makanan; mee segera (menunjukkan keadaan Karim yang kosong dirinya), kemudian di hujung waktu kes dah slesai, ada bungkusan makanan yang banyak (menunjukkan keadaan Karim yang sudah relief maka dia berselera makan); kemudian apabila Karim tahu bini dia sebenarnya mati dibunuh Diana, dia makan dari tong sampah (menunjukkan keadaan Karim yang sudah sangat celaru dan hampir tidak waras). Rujuk Gambar I.


59. Setelah scene awal pemberontakan Batak, kamera syot bergerak dari hutan jagung masuk ke desa kemudian ke kotaraya KL - itu metafora perjalanan Tongkat Batak. Semua yang menentangnya akan mati; tentera Indon mati, Daud mati, mangsa-mangsa lelaki mati, Sara (satu-satunya perempuan dibunuh Diana) juga mati, tetapi bukan Karim. Karim hampir saja mati kalau dia tersalah langkah melawan terus Diana tetapi lantaran dia memilih bersama Tuhan maka dia terus hidup.

60. Perasan tak pantang larang Diana dalam #Dukun semua nampak baik - pakaian putih, minum air bersih, jangan zina - ini keterbalikan dunia hitam macam dalam siri filem seram Turki #Siccin yang guna ayat-ayat al-Quran; depa buat macam ni bukan untuk memuliakan tapi menghinakan sumber2/lambang2 suci. Seperti juga lambang salib terbalik dalam tradisi seram terkait Kristian.

61. Skrip Diana #Dukun pandai main tahap psikologi; lihat scene Diana perangkap Karim; dia mula dengan fakta tentang Nadia bla bla bla menyebabkan Karim terpana. Kemudian, Diana sebut fasal ketakutan Karim waktu Nadia sakit umur 7 tahun; Karim terpaku & mula nak masuk side Diana. Diana mula dengan jajah fakta mangsanya kemudian dia jajah rasa mangsanya!

62. Shah lakonan @Bront_Palarae sebut "...Tuan Haji Daud, dengar kata dia tu lagenda kan?" - dari awal lagi rupanya Dain memang sungguh-sungguh maklumkan kita tentang status sosial/alim Daud di hadapan masyarakat (walaupun depan Talib yang tak suka Daud) memang sedia tinggi! Rujuk Gambar J.

63. Diana sebut, "Apa yang tak dapat mereka miliki, mereka akan cuba musnahkan". 

Diana #Dukun tak dapat miliki Nadia, maka dia musnahkan Sara. 

Tapi, walaupun Karim tak dapat miliki Nadia, dia tetap hidup sebab dia tak musnahkan apa-apa. 

Jadi, Karim berjaya di akhirnya. Rujuk Gambar K.


64. Ada bertanya, "Macam mana boleh jumpa exactly location apabila ke empat-empat penjuru tu dipadankan/ disambungkan?".

Fadli Akiti dalam diskusi kami ada memberi jawapan juga : Itu tempat pertama Diana sebenarnya. Bekas jumpa mayat di tengah memang rumah pertama Diana. Ingat babak anak orang gaji cerita lakonan Nadia Nissa? Itu babak yang berlaku di dalam rumah Diana yang pertama. Setiap ritual ditanam di rumah, kemudian rumah itu ditinggalkan. Secara teori: meluaskan kuasa/pengaruh ala perimeter ikut titik tengah, punca ouroboros.



64+1(Extra Khas). 2 Disember 2005. Waktu Diana bunuh Dato Jefri. Siasatan bermula pada 4 Disember 2005 ketika Talib pergi ke rumah Diana. Waktu tu, Talib dapat maklumat Diana di Gems and Jewels KL, seraya Diana ditahan serta merta dan dibawa ke lokap. Talib sepasukan pastinya memulakan siasatan setelah Diana ditangkap. Maka, kemungkinan besar mereka sudah berada dalam sela masa 2006.

Katakan siasatan ini mengambil masa berbulan-bulan, maka satu-satunya keadaan di mana Brazil lawan Perancis di mana Perancis menang 1-0 yang mana Thierry Henry skor gol akibat kebijakan Zinedine Zidane a.k.a Zizou menghantar bola lintang pada sudut yang tepat adalah dalam suku akhir Piala Dunia 2006 di German pada 1 Julai 2006. 


Rujuk video ini : https://www.youtube.com/watch?v=IaFNom6xCVU.


Maka, sebagaimana kemahiran Zizou membuat kiraan 'centre of sudut-sudut' dalam membuahkan skor bagi Perancis dalam perlawanan suku akhir World Cup 2006 itu, sebegitulah lambang dalam kes Diana yang dapat diterka oleh Shah. Namun, sebagai orang bawah, Shah dengan berseloroh memaklumkan hal ini kepada Talib dan akhirnya merungkai di mana kotak terakhir dijumpai di lokasi di tengah-tengah antara rumah-rumah Diana.


Zizou positionnya tengah, hantar bola lintang (sudut), akhirnya merungkai lambang-lambang yang berada melalui tanda-tanda ouroborus di rumah-rumah Diana!


Shah : "Macam-macam orang sembah sekarang ni, Chief. Di Brazil tu, orang sembah bola sepak! Tapi, Perancis tetap raja."


"Zinadine Zidane membuat sepakan percuma (satu sudut rumah Diana diletakkan Shah). Disambut oleh Henry yang menjaringkan gol pada minit ke-57. Perancis satu, Brazil kosong. (selesai letakkan semua gambar sudut rumah Diana) Cepp... tiada piala tanpa Zizou. Zizou..dukun piala yang paling terer, Chief! (sambil persembah pada Talib)"


Zizou adalah dukun bola tidak diragukan lagi. Apatah lagi bila Sir Alex Ferguson pernah kata : "Give me Zidane and 10 pieces of wood and I'll win you the champions league"!


Shah : "Agak-agak, Chief - Zizou kenal Diana, Chief?"


Talib : "Kau memang genius. Jumpa di lokasi"


Shah : "Terima Kasih, Chief!"



*Terima Kasih banyak Brother Muhaimin Muhammad Amin atas sumbangsaran yang diberikan.

---
Aku perturunkan tulisan kawan aku, Ashrafi Harumin tentang kehebatan Allahyarhamhu Ramli Hassan pemegang watak Daud dalam #Dukun dan thread setelahnya skrip penuh momen Talib VS Daud. Al-Fatihah untuk beliau. Allahumaghfirlahu warhamhu waafihi wafuanhu waakrim nuzalhu aameen!


Dialog Penuh Scene Talib-Daud Yang Penuh Berseni

Talib ketuk kamar Daud. Daud tanpa senyum buka pintu berlalu ke dalam.

Daud : Memang banyak yang dah berlaku antara kita, tapi pintu tu masih terbukak.

Talib : Setahu aku, kau jugak yang tutup pintu tu dulu.

Daud : Dah lama dah aku bukak, cuma kau orang aja yang tak nampak. 

(Sambil bersihkan dakwat khat) Ada apa kau datang?

Talib : Kau ada kendalikan kes bunuh dua rumah cincang? Ada apa-apa yang tak de dalam file?

Daud : Hanya ilmu hitam yang tak siapa nak peduli.

Talib : Boleh kau tengok ni? (Talib beri foto-foto tanda-tanda cult). Apa maksud huruf tu dalam buku sihir Batak?

Daud : Nampak macam kau dah belajar huruf Batak. Tapi ni bukan huruf dari buku tu. 

Talib : Habis tu apa?

Daud : Ini simbol ahli sihir yang digunakan oleh dukun-dukun perempuan yang berpaling tadah dari kaum Batak Utara.

Talib : Itu saja? (sambil grin sinis)

Daud : Melainkan kau sendiri nak masuk hutan Sumatera, lupakanlah Talib. Jawapannya ada di tangan kau. Aku mungkin tak ada kepakaran saintifik kau. Tapi aku percaya pada gerak hati aku. Tapi bagi kebanyakan orang itu semua tak cukup.

Talib : Er... Boleh kau bagitau aku pasal rumah-rumah ni?

Sama seperti tanda yang aku jumpa baru-baru ni

Daud : Bukan pasal rumah-rumah tu tetapi di mana letaknya. Tengok betul-betul.

Syaitan berasal dari hutan gelap. Kau boleh jadi sesat di dalamnya. Baik kalau kau ada kompas.

(Daud bergerak membersihkan tangan)

Maaf, aku nak sembahyang sekarang. 

Orang sekarang sembah ke pelbagai sudut muka bumi. Aku harap bila kes ni dah habis, kau masih menghadap Mekah.

Talib : Daud...

Talib beredar.

---
Aku rasa setakat itu saja thread tweet aku pasal #Dukun ya, aku pun tak sangka sampai panjang macam ni. Tapi di tangan pengarah yang genius macam Dain Said, barulah kita sebagai penonton yang sikit sebanyak faham sinema boleh cungkil apa yang disampaikan di layar perak. Aku doa Dain terus hasilkan filem bagus! Aameen! 

Terima kasih juga atas sokongan kalian yang retweet, share pasal thread aku on #Dukun & ada juga yang kata tak faham & kata aku mengarut. Well, aku tak kisah korang nak puji atau keji; asalkan korang faham, sedar & jelas KENAPA korang puji atau keji. Kerana kita manusia yang dikurniakan akal & hati untuk berfikir & merasa. Rugi kalau buta akal dan buta hati. Nauzubillah!

Selamat semua! :)

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)