Wednesday, May 30, 2018

Kisah-Kisah Latar Puisi "Memeluk Ramadan" Terbit Mingguan Malaysia, 27 Mei 2018

1. Ia bermula dengan ngomelan penyair Shafiq Said di status Facebook berbunyi : "Aku harap tahun ni tak ada puisi Ramadan yang tersiar di mana mana media." Penyair Haniff Nasir menghuraikan maksud Shafiq dengan mencabar bilamana menulis puisi, harapnya tiada kalimah Ramadan di dalamnya. Ini saya jawab dengan puisi "Di Perkumpulan Saf" minggu lepas di Berita Harian, 20 Mei 2018.

2. Mengenali puisi-puisi Shafiq, saya tidak rasa Shafiq memaknakan sedemikian radikal. Jadi, puisi Memeluk Ramadan ini pula lahir bagi menjawab status Shafiq di mana ingin saya tegaskan; puisi masih boleh ditulis dengan baik sekalipun subjeknya bulat ditonjolkan. Tinggal lagi, bagaimanakah kita mengambil sudut renungan juga cara pengungkapan yang boleh menarik perhatian dan pemikiran pembaca.

3. Ini membawa kisah kedua di mana saya berfikir apakah hal yang jarang (setakat ini saya belum jumpa, siapa pernah jumpa boleh maklum) digandingkan iaitu perihal kembalinya anak-anak ke pangkuan ibu ayah di desa dikaitkan dengan Ramadan. Klisenya hal ini digandingkan dengan Aidilfitri. Dari situ saya mendudukwajarkan mengapa Aidilfitri?

4. 'Aid al-Fitr. 'Aid (عید) berasal daripada `aud bererti ulangan. Ulangan ini bermakna kejadiannya berulang saban tahun maka diterjemahkan di akhir sebagai Hari Raya, juga bermaksud kegembiraan yang berulang juga nikmat yang banyak dan berulang dari Allah Taala kepada para hamba. Di sini juga sering disebut, minal aaidin (عائدين) wal faaizin (فائذين); (semoga menjadi) dalam kalangan orang-orang kembali dan berjaya.

5. Kembali kepada apa? al-Fitr. Berjaya apa? Mencapai al-Fitr. Apa itu al-Fitr? Fitrah. Fitrah semasa bayi, tanpa dosa keji sekali gus sucinya rohani.

6. Soalnya, apakah proses kembali itu berlaku pada Aidilfitri begitu sahaja? Tidak! Proses kembali itu bermula pada bulan Ramadan! Maka, dengan memahami begini, saya merenung perihal anak kembali kepada ibu itu sebenarnya sudah pun bermula ketika Ramadan menjelma dan Ramadan memang jika direnung kembali umpama ibu yang sudah lama kita abaikan. Kedatangan bonda itulah kita sebagai anak-anak kembali merangkul hangat kasihnya, tenang dakapnya. Ramadan - dengan penuh sakinah, mawaddah dan rahmah. Medan tarbiyyah diri yang sudah lama kita abaikan. Berbeza dengan para wali Allah yang seluruh hidupnya adalah Ramadan!

7. Di sini, datanglah kisah ketiga. Kedudukan Ramadan. Suatu hari dalam bulan Ramadan ini dikisahkan kepada kami tentang hakikat Ramadan oleh Guru yang mulia hafizahullahutaala. Bermula dengan faham popular, "menjadi hamba rabbani bukan hamba ramadani", beliau memanjangkan lagi syarah.

8. "Ramadan ini semacam jambatan, penghubung, tali pengikat. Ramadan ini seperti nafas yang menghubungkan jasad dan roh. Tanpa nafas, roh tidak menempati jasad, jasad pula tidak bernyawa. Pentingnya nafas sebagai isyarat yang menghubungkan kedua-duanya."

9. "Begitu juga, Ramadan ini seperti zikir yang menalikan hati dengan Allah Taala. Tanpa zikir, hati tidak mengingati Allah Taala, Allah Taala pula tidak memandang hati kering dari mengingatiNya. Pentingnya zikir sebagai alat menalikan insan dengan Tuhan. Lantaran itu sebesar-besar zikir adalah solat. Walizikrullahiakbar"

10. "Maka, begitulah Ramadan. Ramadan mengikat faham dan rasa zahir dengan batin. Kudrat yang nampak dengan iman yang ghaib. Bila kita lapar, kita lihat kudrat melemah namun kita nikmat kerana tidaklah kita berpuasa melainkan kerana beriman denganNya. Puasa satu-satunya ibadah tiada siapa dapat melihat kita melaksanakannya melainkan ia istimewa antara kita dengan Sang Pencipta. Syuhud kepada Dia."

11. Demikianlah inti perenggan kedua. Dan disimpulkan kembali persoalan pokok bersandarkan kisah kedua dengan perenggan terakhir.

Alhamdulillah. Moga bermanfaat :)

Za'im Yusoff
ETS Penang-KL
12 Ramadan 1439H
28 Mei 2018

2 comments:

  1. tahniah Za'im . tulisan kau indah benar . senang masuk akhbar buat tatapan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima Kasih banyak atas sokongan Saudari. Mohon doa agar saya mampu istiqamah dan menjadi lebih baik. :)

      Delete

Sebarkan Manfaatnya! :)