Aku ketawa tak berhenti-henti
mendengarkan watak Ameera Ramlee melaung-laungkan ini meski menyedari
seakan-akan yang ketawa itu hanya aku seorang sahaja. Hanya di akhir naskhah
pertama “Lembu” itu, ternyata ketawa aku itu berasas dan aku tersenyum
mengenangkan ketawa aku itu sendiri.
Dara – bukan sengaja diberi nama
dara. Dara ialah fitrah. Hilang dara dengan maksud hilang fitrah. Di saat
fitrah hilang, yang tinggal hanyalah songsang. Begitulah politik kita,
masyarakat kita – di saat fitrah asal sudah hilang, yang berbaki hanyalah
kesongsangan niat yang membawa kepada keterbalikan perilaku.
Agama dan bangsa bukan lagi
faktor penyatu sebaliknya hujah untuk kita berseteru; dan dalam naskhah Lembu
& MatDerihKolaPerlih ini, Nam Ron memilih politik sebagai subjek untuk menjukstaposisikan
kedua-dua karyanya ini menjadi seadun dan sebati, serumpun dan selari dalam
mengangkat apa yang disebutnya sebagai tema yang jarang-jarang, kadang-kadang
dibawa ke lapang-lapangan pementasan tempatan.
Nam Ron sebagai Mat Derih |
Selama ini, aku agak sinis
menontoni perempuan beraksikan lelaki, paling cemerlang pun seorang aktres
wanita tempatan itu hanya mampu beraksi sebagai lelaki hanyalah seperti seorang
“tomboy” (Aku Bukan Tomboy, 2011 misalan).
Ameera Ramli melakonkan hampir lapan ke sembilan watak dengan cemerlang |
Namun, Ameera menyangkal
kepercayaan aku itu malam pra tonton teater kompilasi Nam Ron ini. Ya, aktres
wanita yang berupaya menjadi lelaki rupanya benar-benar wujud. Tahniah Ameera! Naskah Lembu amat cemerlang terutama dari sudut pembawakan kurang lebih lapan ke sembilan watak oleh saudari!
Teater Lembu & MatDerihKolaPerlih ini merupakan teater kompilasi dua naskhah Nam Ron yang pernah dicalonkan bagi anugerah BOH Cameronian Arts Award 2004 - Skrip Asal Bahasa Melayu Terbaik bagi
naskhah “Lembu” dan memenangi Anugerah BOH Cameronian Arts Award 2003 - Skrip Asal Bahasa
Melayu Terbaik bagi naskhah “MatDerihKolaPerlih”.
Justeru, bersempena pembabitan
Nam Ron selama 25 tahun dalam bidang seni sebagai pendidik, penggiat, pengarah,
penulis dan pelakon sedari 1989, kedua-dua naskhah yang telah diiktiraf ini
digabungkan lantaran tema yang selari yakni kritik-kritik politik.
Kita seringkali melihat
kritik-kritik politik yang melibatkan tokoh-tokoh politik dalam banyak lapangan
seni dari penulisan hinggalah pementasan (Kerusi dari Hatta Azad Khan misalan);
namun sesuatu yang mungkin sedikit jarang-jarang dan kadang-kadang ialah
keperihalan kritik pada orang-orang bawahan politik semisal mak cik-mak cik Wanita
ataupun pak cik-pak cik JKKK yang seringkali berlebih-lebihan membawa mesej
politik dari pihak atasan.
Tanpa menafikan suara Haji Suhaimi
Hanafiah persis suara Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan amanat Haji Hadinya
– namun, suara itu lebih hampir kepada suara imam-imam kampung yang memunggungi
kata-kata TG Haji Hadi dengan buta tuli. Dari kebutatulian itulah lahirlah asumsi
demi asumsi hinggakan kehilangan Dara, seekor lembu yang bakal dikorbankan dikaitkan
dengan petunjuk Tuhan bahawa majlis menyambut “pemimpin beso” itu dilaknati para
penduduk langit.
Bukankah hal sebegini turut
berlaku pada hari ini, di saat air bah besar melanda saudara-saudara kita di
Kelantan terutamanya, terus dikaitkan itulah amaran Tuhan kerana kalian telah
tersalah memilih parti politik untuk memerintah?
Ini adalah sebahagian bukti skrip
Nam Ron ini malar segar.
Selaku penikmat puisi, penggunaan
sajak sebagai seni membodek “pemimpin beso” yang bertandang ke kampung mereka
amat menggeletek pemikiranku.
Ia tidak lain tidak bukan membawa
semula syair seribu empat ratus tahun yang dahulu ketika penyair baginda
Rasulullah solla Allahu ‘alaihi wa ‘ala aalihi wassalam, Sayyiduna Hassan Bin
Thabit radhiyallahu ‘anhu mengungkapkan bait-bait ini :
Pergilah tonton teater ini di DPAC
dan pastinya kalian mengakui sajak yang dideklamasi dalam monodrama ini adalah contoh sajak yang termasuk dalam
kategori “majlis seni yang mencerminkan kebodohan”.
Penggunaan loghat atau telor bahasa
(Utara, Kelantan dan Perak) dalam kedua-dua monodrama ini amatlah cemerlang.
Meski Nam Ron dan Fared Ayam mengatakan ia sekadar eksperimental seni bahasa
yang bercabang, aku tidak anggap begitu.
Bagiku, penggunaan tiga loghat
utama ini seakan-akan simbolik bagi mereka selaku pengkarya untuk mencampakkan
makna yang lebih besar bahawa bahasa teater ini adalah bersifat universal,
tidak setempat malah meliputi pelbagai strata masyarakat di mana-mana sahaja
selagi wujud masyarakat yang berpolitik dengan cara begitu.
Naratif melodrama Nam Ron dalam “MatDerihKolaPerlih”
amatlah mementingkan imejan melalui naratif percakapan. Ini mengingatkan aku
pada watak Ryan Stone lakonan Sandra Bullock dalam Gravity (2013) yang
meninggalkan visual pada layar perak sebaliknya membina imejan melalui susunan
kata-kata.
Malah, bahasa Nam Ron yang rinci
dan deskriptif amat membantu penonton membayangkan sendiri adegan-adegan yang
sedang dibuai-buaikan oleh Nam Ron dalam pelayaran naratifnya. Ini sesuatu yang
sukar dilakukan kerana seringkali terbabas dan dilihat sebagai didaktik yang
memualkan. Tetapi, Nam Ron mampu menjaga diksi dengan baik hingga ceritanya
tidak lari dari larik-larik pembinaan cerita setingkat demi setingkat – hingga di
akhir kita ditempelak akan asal-usul politikus yang sebenarnya dari
lorong-lorong tikus.
Kanan sekali - Sara Ali sebagai Wati |
Nam Ron yang turut berlakon,
Pekin dan Sara Ali (masih kuat dalam kepala aura watak Johanna dalam Songlap) sudah
punya kelas tersendiri. Meskipun perkembangan watak khususnya Sara Ali terasa
agak cepat dan tidak cukup masak, kemungkinan besar merupakan kehendak
pengkarya, namun ia masih enak untuk dinikmati.
Di temuramah hujung, ketika
ditanya kepada Nam Ron – tidakkah kritik politik saudara terlalu langsung ketika memperihalkan Pak Lah yang
kerjanya asyik tidur? Nam Ron menjawab dengan jawaban biasa para seniman “professional”
– teater ini adalah fiksyen, tiada kait-mengait dengan orang yang hidup mahupun
mati.
Aku ada dua jawab balas bagi
kenyataan Nam Ron ini.
Pertama, kalau tiada yang hidup,
tiada yang mati – maka, dari mana asalnya inspirasi cerita yang dipentaskan
ini?
Kedua, persoalan ini sudah
dijawab dengan begitu puitis bersama teknik keterbalikan yang menggugah
daripada Bonda Zurinah dalam puisi “Pelakon Teater Kami”, Antologi “Cerita
Dalam Cerita” terbitan ITBM :
PELAKON
TEATER KAMI
Dia terpilih sebagai pelakon
terbaik
dan kami cukup puas hati
setiap kali dia beraksi.
Antara lain yang paling kukenang
dia melakonkan watak pawang
dengan getar suara membaca
mantera
begitu lantang menghalau hantu
jembalang,
"Hey jin
kepala tujuh
jin
bernama jin khianat
keluarlah
kamu dari jasad rakyat
anak
cucuku sudah lama sakit tenat
sudah
lama melarat
hey
hantu segala hantu
hantu
pembelit hantu penipu
jangan
ganggu anak cucuku
sehingga
mereka lari ketakutan
ke
pinggir-pinggir hutan
tinggallah
kamu dan para kroni
menguasai
kota ini."
Aku pernah bertanya dia,
Sungguh hebat kau berlakon
semua penonton terpegun
bagaimana kau menjadi pawang
bengis dan garang
menghentak dan menendang
sangat berlainan dari dirimu
yang sopan dan pendiam.
Dia hanya tersenyum menjawab
seperti biasa kata-katanya cukup
terhad,
Yang kau lihat di pentas itu
sebenarnya adalah aku
di luar pentas aku adalah
pelakon,
yang menelan kemarahan
menjadi sopan santun
kerana di luar pentas
lebih ramai penonton.
Di pentas aku bebas beraksi
sebagai diri sendiri
sebaik turun
aku pun mula berlakon.
Nam Ron, dengan aku – usahlah berlakon
di luar pentas! =)
Tahniah! 7.8/10
---
Bagi mendapatkan tiket di sini butirannya :
Teater Kompilasi Nam Ron Vol 2 : Lembu & Matderihkolaperlih
Date:
Damansara Performing Arts
Show:
24th Dec - 8.30pm
25th Dec - 3.00pm, 8.30pm
26th Dec - 8.30pm
27th Dec - 3.00pm, 8.30pm
28th Dec - 3.00pm, 8.30pm
Ticket:
RM55 (Front view, Free Seating)
RM40 (Side view, Free Seating)
Purchase :
1) Online Banking via DPAC Website www.dpac.com.my,
or call 03-40650001/0002
2) Online Transfer/Cash Deposit via Ayaq Hangat Entertainment
(Maybank account), or call 017-7119327
---
Bagi mendapatkan tiket di sini butirannya :
Teater Kompilasi Nam Ron Vol 2 : Lembu & Matderihkolaperlih
Date:
Damansara Performing Arts
Show:
24th Dec - 8.30pm
25th Dec - 3.00pm, 8.30pm
26th Dec - 8.30pm
27th Dec - 3.00pm, 8.30pm
28th Dec - 3.00pm, 8.30pm
Ticket:
RM55 (Front view, Free Seating)
RM40 (Side view, Free Seating)
Purchase :
1) Online Banking via DPAC Website www.dpac.com.my,
or call 03-40650001/0002
2) Online Transfer/Cash Deposit via Ayaq Hangat Entertainment
(Maybank account), or call 017-7119327
No comments:
Post a Comment