Fadli Akiti, pengkritik blog tontonfilem dalam satu forum di UiTM pernah berkata –
“Seni filem itu seni visual. Apa yang kita lihat, apa yang kita pandang dan tonton. Lihat saja bagaimana seni filem itu bermula. Filem bisu lakonan Sir Charles Spencer "Charlie" Chaplin awal abad lepas misalnya tidak pun bermula dengan bunyi, tetapi dengan apa yang terpampang di skrin di hadapan kita.”
Begitulah asal terteraan sinema.
Namun, pelayaran sinema dunia mahupun tempatan sudah menguaki arus percambahan takat demi takat hingga singgah ke satu tingkat di saat hampir kesemua seni bisa dicantumkan sekali.
Ini bisa dilihat sebagai takat kemuncak potensi sesebuah sinema untuk pergi lebih jauh daripada apa yang dijangka.
Ditapaki seni audio, visual termasuk naratif berkembang ke sinematografi dan runut muzik eksperimental selain unsur-unsur seni catan dan seni puisi nan indah adalah rencah-rencah rempah seni yang bisa diadunkan sekali menjadi juadah jiwa yang mengenyangkan, tanpa sesekali melupakan teks sebagai rangka dan subteks sebagai isinya. Kesempurnaan inilah yang cuba dicari penjejak-pejejak seni dari satu generasi ke satu generasi.
Syukur, itu yang sudah dan sedang menjarah seantero dunia. Lebih syukur, setidak-tidaknya ia sudah bermula di Malaysia setelah dijanjikan semalam ketika pra tonton “Terbaik Dari Langit”.
UNIVERSAL PENCARIAN DIRI – MANDIRI
Bermula dengan terpaan langit masa lalu, kenang-kenangan empat orang sahabat ketika dihambat warden dirakamkan di hari yang mencorakkan siapa Berg, Toyu, Ijam dan Ali di bawah langit hari ini.
Kini, Berg; sang karyawan yang tidak pernah kisah dengan kutukan karyawan-karyawan seangkatan, Toyu; sang guru separa eksentrik dan rendah yakin diri, Ijam; sang aktor rupawan yang penuh solekan kesombongan antara buat-buat dan tidak; dan Ali; seorang kutu yang jual apa yang boleh jual - bersama seorang gadis sunti, Sofea Jane hanya pada nama, tidak pada rupa – akhirnya bersetuju untuk seiring dan sejalan mengembara menjejaki “mangkok torobang” (telor Mamat Khalid yang cameo dalam filem ini sambil membantai seorang direktor terkenal Malaya!) dalam misi menyempurnakan filem seni Berg yang entah apa-apa itu.
Masing-masing punya masalah masing-masing (kecuali Sofea Jane) dan itulah bagasi beban kehidupan yang mereka kendong sepanjang pengembaraan; yang satu demi satu diselesaikan dengan begitu halus oleh kegeniusan Redza Minhat dan rakan-rakan dalam bait-bait skrip dan lakon layarnya.
Di akhir cerita, kita akan lihat (sebenarnya saya sudah menangkap kata-kata mulut kepoh di hujung pratonton – “what I saw in this film is about self-discovery”), ia lebih daripada sekadar pencarian diri yang tercari-cari dirinya. Redza dan rakan-rakan memberitahu kepada kita – kembalilah ke langit untuk mendapatkan jawapannya!
Langit ialah tempat kita semua berasal, ketika Nabi Allah Adam alaihissalam dan Bonda Hawa alaihassalam diperintah keluar dari syurga, turun dan bertapak di dunia. Bukan sedikit dari langit diceritakan dari kuras-kuras firman. Besi yang diturunkan, al-Qur’an yang ditanzilkan, rahmat, doa, rezeki dan bermacam-macam lagi asalnya dari langit sebelum turun berteleku di bumi.
Langit ialah tamsilan ketinggian pencapaian dan harapan yang bersambung dari satu renung ke satu renung, yang menyusur dari satu cenung ke satu cenung. Hinggakan andai pandangan kita tidak mendapatkan langit, itu isyarat keputusasaan yang amat dahsyat sebagaimana bekaan watak Cooper dalam Interstellar (2014) –
“Kita pernah selalu memandang langit dan menduga-duga di mana kedudukan kita di antara bintang-bintang. Namun hari ini, kita hanya memandang ke bawah sambil merasa bimbang tentang tanah kita yang digenangi lumpur.”
Keputusasaan inilah yang tidak pernah dipedulikan Berg. Berg kembali ke asal-asalnya untuk mencari dirinya sendiri sebagaimana keperihalan langit tempat kita semua berasal. Berg tega dan terus ketegar memegang pada harapan usai angan-angan yang diciptakan langit fantasinya sehinggakan Berg punya kekuatan untuk memekakkan telinga hatinya dari mendengar pesimis dan sinis manusia sekalipun dari Ijam, rakannya sendiri. Malah, dia mengheret rakan-rakan baiknya itu turut serta dalam “Kembara Kembali Ke Asal”.
Dan kita lihat, “Kembara Kembali Ke Asal” ini adalah sebaik-baik penyelesaian kepada pencarian diri mereka yang keliru dengan masalah yang penuh rancu. Mereka kembali ke memori lama malah ke sekolah untuk menautkan kembali mereka yang berpecah.
Malah, secara sinis – kembara ini mengherdik manusia moden yang sibuk dengan diri sendiri sehingga terlupa kembali kepada alam.
Mereka bersama-sama kembali menari mengikuti rentak rintik-rintik hujan, kembali pulang ke saujana hamparan sawah nan menghijau, kembali balik ke perbukitan bergondol-gondolan malah kembali berliburan di pantai dalam kembara yang penuh perlambangan untuk menautkan kembali persahabatan, untuk mengautkan kembali sisa-sisa cita-cita yang makin menghilang.
Siapakah antara kita di kota yang pernah peduli untuk kembali memesrai alam dan pulang menikmati langit?
Sinematografi filem yang sangatlah cantik pula menjentik-jentik lagi rasa-rasa kita yang sedang larut lagikan hanyut dibuai-buaikan keindahan kembara mereka ini. Kalau mahu tonton rupa filem sebagus kualiti wajah iklan-iklan Petronas, Terbaik Dari Langit menjanjikan itu.
Malah secara peribadi, melihatkan baruh padi dalam Terbaik Dari Langit menggamitkan memori ketika merentasi prairie menghijau tempat biri-biri New Zealand diam di daerah Dunedin, memandang pesisiran pantai jerami lalangnya mengembalikan keindahan telusuran pantai Coogee, Sydney mahupun wilayah Sorrento, Victoria – dan ya, semua itu ada di Malaysia menerusi kaca-kaca lensa Terbaik Dari Langit.
“Kembara Kembali Ke Asal” ini telah mengingatkan kita kepada bait-bait puisi Arab Jahiliyyah yang amat klasik, puisi tertua daripada tujuh puisi yang dikenali sebagai al-Mu’allaqat yang tergantung-gantung di dinding-dinding kaabah sebagai pengisytiharaan kemashyurannya sebagaimana billboard kita hari ini. Puisi yang dimaksudkan ialah Puisi Imru-ul-Quais yang berbunyi :
Qifa nabki
min zikra habeebin,
wa manzili.
Berhentilah! Mari kita menangis
mengenangkan kekasih, dan
jejak-jejak kediamannya.
Dalam tradisi sufi, kembali melawat dan menziarahi jejak-jejak kekasih sama ada kekasih itu para nabi, para rasul, para orang soleh malah yang punya hubungan dengan kita – ia bertujuan untuk menghidupkan memori indah masa lampau untuk menguatkan mandiri kita di kehidupan mendatang.
Hal ini turut diisyaratkan dalam bait-bait puisi di hujung dituturkan Berg (setelah kejayaan bait-bait puisi Usman Awang lewat Passport Ekspres (2012) juga kerja tangan Rewan Ishak) –
Ketika kau bertemu dirimu
barulah kehidupan sebenarmu
bermula.
Turut diisyaratkan dalam seni potret catan yang begitu halus diukir Toyu. Sengaja takdir kembara itu memulangkan kembali ingatannya pada hasil tukangannya dan dengan sedikit percikan cinta dari Sofia Jean, Toyu mengumpul kembali kekuatan dan membina semula apa yang dia sudah lama hilang. Hasilnya, sebuah potret wajah Sofia Jean yang cukup menawan ditatang.
Begitu juga yang terjadi pada Ijam dan Ali yang kalian perlu tontonnya sendiri di pawagam 25 Disember 2014 nanti.
Saya juga mahu memuji runut bunyi yang sangat eksperimental dan amat kena dengan rasa-rasa urban (lewat menghayati rapsodi A Musical Potrait, irama eksperimental di MPO April lalu) dan juga diksi-diksi skrip yang tajam.
Lihat sahaja beberapa contoh yang berbekas di ingatan ini :
“Bila kau baca buku
yang kau tak faham,
buku tu yang bodoh
atau kau yang bodoh?”
“Ruginya tak makan durian!”
“Tak rugi kalau tak suka!”
“Macam mana tau tak suka kalau tak cuba!”
“Semua orang nak jadi berbeza.
Jadi, sebenarnya semua orang sama.
Yang penting sebenarnya ialah
untuk menjadi diri kita sendiri!”
“Tolonglah jadi professional”
“Sebelum professional, jadi rasional dulu, boleh?”
“Jom masuk,
nanti Sofea Jane aku merajuk-
susah!”
“Hotel Lake Garden….Hm…”
“Bukan! Lek Garden, macam Lek Lu (Relaks dulu)”
Dan banyak lagi, semestinya.
UNIVERSAL PENCARIAN DIRI – SINEMA
Saya faham, selain subteks universal pencarian mandiri yang dinyatakan sebelum ini, secara berkias mahupun tidak berlapik, sememangnya filem ini seakan das-das jawapan yang pedas daripada pasukan KIL – Nik Amir, Rewan Ishak dan Redza Minhat; kepada mereka yang terhijab dari melihat niat dan memandang usaha baru yang mereka padukan untuk dipersembahkan dalam arus senima tempatan lewat kemenangan KIL menggondol Filem Terbaik di Anugerah Perdana Festival Filem Malaysia ke-26.
Pembabitan Mamat Khalid meski secara cameo sangat menjelaskan bahawa generasi muda ini tidak bersendirian mahupun syok sendiri.
Malah, ia bukan persoalan tua atau muda, established atau tidak. Sebaliknya, isu sentralnya ialah tahap pemikiran kita – sama ada masih di ceruk yang mentah atau sudah mampu berteleku di sudut yang matang. Itu sahaja. Hal yang sama berlaku dalam pojok-pojok dalam masyarakat kita yang lain khususnya pendekatan politik mahupun genre kesusasteraan dan penulisan tempatan.
Paling indah, plot di mana imbauan Berg menjadi pengarah Batu Belah Batu Bertangkup yang menerima reaksi pelik guru-guru (baca : warga established) namun menerima tepukan gemuruh daripada rakan-rakan pelajar (baca : generasi baru) sudah menampilkan suara hati pembikin-pembikin Terbaik Dari Langit ini dengan begitu kuat dan berani melawan arus.
Ini belum lagi dengan “syot statik”, kembara minta restu Berg-Allahyarham Aziz Sattar, “Ok Guys, Direktor dah berhenti berangan!” dan macam-macam lagi sememanya memukul tiap-tiap karyawan yang masih tidak faham-faham bahawa seni bukan milik perseorangan sebaliknya selagi namanya manusia dan memiliki rasa dalam jiwa dan dinanisme dalam pemikiran; maka selagi itu seni adalah hak milik asasi setiap insan!
Jujurnya, Terbaik Dari Langit sudah pasti tidak sempurna, tetapi jauh lebih baik daripada biasa – antara terbaik daripada yang kita pernah ada. Setidak-tidaknya saya seakan-akan terangkat menuju ke langit lepas hingga membuatkan saya terlupa bahawa saya sedang duduk di atas sebuah kerusi yang empuk.
Bukankah Roman Polanski, seorang sutradara Perancis yang telah menggondol 8 anugerah Oskar termasuk dalam filem-filemnya yang terkenal semisal Rosemary's Baby (1968) dan The Pianist (2002) pernah berkata –
Sinema sepatutnya membuatkan kau terlupa bahawa kau sedang duduk di dalam pawagam.
Saya terlupa. Sungguh. Hanyut dalam kata-kata dan seni visualnya yang terbaik dari langit – jiwa.
Kepada para pembikin Terbaik Dari Langit (juga Lelaki Harapan Dunia dan seangkatan dengan Kolumpo seumpama), peganglah kata-kata Soekarno ini –
Bermimpilah setinggi langit.
Jika engkau jatuh,
engkau akan jatuh
di antara bintang-bintang.
Sebagaimana Berg menyantuni Allahyarham Aziz Sattar (kembali melihat tradisi sebagai akar) di saat giat melakukan filem seni yang penuh inovasi, peganglah pula kalam Winston Churchill ini –
Tanpa tradisi, seni ialah sebondongan biri-biri tanpa pengembala.
Tanpa inovasi, seni ialah mayat tak bernyawa.
Tahniah! Terima kasih kerana membawa saya terbang ke langit!
*WAJIB BACA - Ulasan TontonFilem [KLIK]
*WAJIB BACA - Ulasan TontonFilem [KLIK]
No comments:
Post a Comment