Thursday, December 25, 2014

Ulasan Filem Bollywood - P.K. (2014)

"Dalam dunia ini, ada dua jenis tuhan.
Tuhan yang menciptakan kita.
Dan Tuhan yang kita cipta.
Musnahkan Tuhan yang kita cipta.
Kembali dan kenali Tuhan yang menciptakan kita."

-Watak P.K. lakonan Amir Khan dalam P.K. (2014)

ULASAN AMIRUL HAMUDIN

Sebelum membaca ulasan saya, mari baca ulasan rakan sepenulisan saya, Saudara Amirul Hamudin yang merupakan bakal seorang doktor merangkap cerpenis yang hebat :

Hari ini menonton P.K, sebuah movie lakonan Amir Khan. Jika selama ini saya merasakan 3 Idiots sebuah movie terbaik dilakonkannya diikuti Like Stars on Earth, maka hari ini fikiran saya sudah berubah.

Hebatnya P.K, jauh meninggalkan dua movienya sebelum ini. Sangat tajam, dalam masa sama lucu, menyedihkan, menggembirakan dan ah, semualah. Sehingga saya tidak tahu apa yang dirasakan usai tamat menontonnya.

Hebatnya P.K dalam memaparkan kebobrokan dan paradoks bumi yang sedang kita tinggal. Semuanya terus, yang selama ini kita perasan tetapi tidak tahu bagaimana hendak mengungkapkannya, dan anda hanya akan mampu bersetuju sahaja.

Hebatnya P.K ialah sebuah cerita yang melangkaui ras, kaum, bangsa dan tentu sahaja agama. Kerana P.K tidak pilih bulu dalam mengkritik soal agama yang dijual oleh 'pembesar agama' (disebutnya sebagai Manager/CEO of respective religion), sehingga ramai tertipu dalam menyangka apa yang dimomokkan itulah agama yang sebenarnya TANPA boleh dipersoalkan lagi.

Hebatnya P.K sehingga ramai mungkin tidak sanggup menontonnya pun (dalam masa sama, saya sendiri terkejut movie ini lepas untuk ditayangkan di Malaysia). 


ULASAN ZA'IM YUSOFF

Amirul Hamudin, bagi saya kurang tepat dalam memperihalkan filem P.K. yang dikatakan jauh meninggalkan masterpiece Amir Khan sebelum ini semisal 3 Idiots mahupun Taare Zamen Par; bukan-bukan. Sebaliknya, segala kerja seni Amir selama ini hanyalah lantai-lantai bumi sebaliknya P.K. adalah mahakarya langit hasil tenunan cenungan Amir yang tajam, melebar dan mendalam. Ringkasnya, P.K. adalah Magnum Opus Amir (setakat ini).

Menghasilkan filem satira adalah sesuatu yang amat sukar kerana ia meramukan dua elemen utama naratif sinema - teks dan subteks.

Teks, rangka ceritanya harus kuat dan memenuhi segala elemen penceritaan sebagaimana yang biasa dibabadkan dalam kuliah-kuliah skrip penulisan selain kreativiti permainan plot yang seboleh-boleh tidak dibazirkan meskipun sesaat. Semua plot wajib mempunyai fungsi walau sebiji sawi, dan setiap diksi perlu tepat walau sebatang huruf. Di samping ceritanya segar dan tidak mengundang walau seangguk kantuk.

Dalam P.K., walaupun isteri saya berdebat tentang plot-plot akhir yang akhirnya tumpas di penghujahan balas saya (haha) dengan mengambil naratif teks Amir yang tidak pernah tercicir telah membuktikan bahawa teks filem ini sangat ketat. Tidak ada yang dibazirkan - semua sisi-sisi cerita yang ditimbulkan, tidak pernah dilupakan sebaliknya dilengkapkan dan digunakan semula untuk melengkapkan saga cerita yang kemas. Malah, watak Janggu (Anushka Sharma yang isteri saya kata cantiknya dia! haha bukan saya kata ya hehe) sebagai seorang penulis telah mengisyaratkan bahawa Rajkumar Hirani dan rakan-rakan merupakan orang-orang seni yang telah bersatu dengan seni dari segi lahiriah mahupun maknawiyyah.


Subteks, perjalanan cerita separa sedar yang dilihat sebagai suara pengkarya yang sebenar dalam mentamsilkan idea dan pemikiran yang jauh lebih besar tidak syak lagi disuarakan dengan begitu jelas dalam P.K.

P.K. mengangkat perjalanan roh yang mencari jalan pulang. Manusia yang berasal daripada langit dengan fitrah asalnya dicampak ke bumi, melata dengan kerancuan ujian dan kepelbagaian yang mengelirukan dalam perjalanan kembali mencari Bhaghwan yakni Tuhan. Hal ini turut diungkit oleh Filem ‪#‎TerbaikDariLangit‬ karya anak-anak tempatan ditunjangi Nik Amir, Redza Minhat dan rakan-rakan yang bakal diluncurkan esok. Namun, saya melihat Terbaik Dari Langit meskipun suatu yang sangat baik dan menarik hasil sinema tempatan masani, tetapi ia sekadar mampu mengambil 1/10 daripada P.K. Kerja keras harus dilaksanakan oleh team anak muda tempatan ini untuk mencari lagi 9/10. Kalian boleh teliti ulasan saya berkenaan filem itu di sini [KLIK]

Pada awal pelayaran P.K., saya bersifat sedikit skeptikal. Ah, sudah! Shah Rukh Khan baru nak mai dah. Pluralisme macam dalam My Name Is Khan. Namun, ternyata saya salah, karya Amir kali ini ternyata amat berhati-hati dan kemas dalam membuka persoalan, merungkai provokatif soal perihal kepercayaan yang berteraskan ketuhanan dan kepercayaan dengan tidak meninggalkan soalan demi soalan begitu sahaja tetapi diberikan jawapan yang jelas dan tepat - meskipun, ya - para penonton perlu kembali ke rumah dan meneruskan pencarian kembara roh itu semula.

P.K. memanfaatkan segala hubungan cinta yang pernah wujud di atas bumi - baik meliputi cinta sahabat, cinta kekasih, cinta keluarga (wujud perhubungan ala-ala Murph-Cooper dalam Interstellar meskipun tidak semenonjol mereka namun masih mampu mengundang deraian air mata) malah cinta kepada yang memberikan harapan baik dari sudut guru-murid (meski dalam aura antagonis).

Saya mahu ceritakan segala-galanya tentang pun, juxtaposition, simile, bahasa visual dan segala yang ada dalam P.K. tapi saya kira ruang FB terlalu terhad untuk itu semua.

Rasailah sendiri - di saat anda gelak, beringatlah - anda mungkin sedang menggelakkan diri sendiri!

10/10 definitely.

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)