Wednesday, December 17, 2014

Ulasan Ringkas Kumpulan Puisi Remaja : Bintang Timur

BUKU KUMPULAN PUISI REMAJA : BINTANG TIMUR TULISAN AMRAN IBRAHIM RASHIDI

Amran seorang deklamator. Dinobatkan selaku johan deklamator serta dijemput ke sana sini, ke dalam TV mahupun atas pentas seni sudah menjadi hujah, Amran seorang deklamator. Dan puisi-puisi dalam buku sulungnya ini adalah hujah ketiga yang sememangnya mengesahkan bahawa Amran seorang deklamator. Deklamator tegar.

Kalau bait-bait ini ialah meter-meter muzik, maka bait-bait puisi beliau melagukan rentak staccato yang punya jeda yang jelas untuk direntakkan. Mesej-mesejnya langsung dan melebihkan tumpuan kepada nilai estetika khususnya jeda dan dalam beberapa kes, diksi berbanding makna yang tampak sederhana tanpa metafora yang mendalam tetapi cukup dan sesuai buat para amatur dan pelajar yang baru mengayuhi kolek-kolek sampan kepenyairan. Ini bersesuaian dengan genre puisinya - kumpulan puisi remaja. Sesuai amat untuk remaja.

Dari segi suara, suara Amran amat kuat dengan kecintaan yang mendalam terhadap perjuangan bahasa disaduri mesej Islam dan Melayu yang tuntas, langsung dan jelas sekaligus hal ini amat menarik memandangkan ramai anak muda lebih berkecenderungan untuk masuk ke daerah anti-thesis yang terkadang tampak mencelarukan. Tetapi tidak bagi Amran. Sekalipun hidup dirudung malang, namun jihad agama dan perjuangan bangsa menjadi inti terutama sebagaimana dijelmakan Amran dalam puisi "Syair Yang Tinggal".

Bila dewasa ilmu ditempa
mengaji agama ke hujung nyawa
budi bahasa jiwalah bangsa
tinggallah dunia tinggal amalnya.

Saya tabik hormat pada beberapa puisi beronakan pantun lantaran Amran faham benar ketinggian seni pantun. Pantun bagi failasuf-failasuf Melayu, bukan sekadar merimakan a-b-a-b dengan baris pembayang dan maksud yang jelas erti, namun ia lebih dari itu. Pembayang semoleknya membayangkan erti seperti alir pemikiran lateral sebelum masuk merungkaikan literal pada baris-baris maksud. Lihat sahaja pantun dalam puisi "Padi Rukun". Amran menukil :

Padi bukan sebarang padi
makin tunduk makin berisi
negeri bukan sebarang negeri
rakyat tawaduk kuat mengaji.

Jeda Amran cemerlang dengan menyamakan jeda tengah yang sering dicuaikan pemantun-pemantun biasa. Lebih cemerlang, metafora padi yang dekat dengan baruh ekonomi orang Melayu seakan mengherdik pada baris maksud bahawa negeri yang maju bukan sekadar keberhasilan laba ekonomi tetapi pada nilai diri bersendikan agama dan kesopanan bangsa. Saya menunggu dengan sabar karya Amran yang khusus pada mengungkapkan cuma rangkap-rangkap pantun yang tersusun pada rangka dan makna.

Secara tuntas, kumpulan puisi ini bagus untuk para deklamator sebagaimana Amran untuk dipersembahkan di seribu satu sanggar seni tanah air. Juga buat yang baru berjinak-jinak dengan dunia kepenyairan bersesuaian dengan usia keremajaan puisi anda yang seharusnya sekemas puisi-puisi Amran.

7/10

Tahniah buat Amran!

:)

No comments:

Post a Comment

Sebarkan Manfaatnya! :)