Artikel Wacana

Tuesday, October 16, 2018

Nokturna dan Cahaya Membutakan

Kumpulan puisi NOKTURNA 
oleh Abdul Karim (Karim Mohd) 
terbitan Kata-Pilar Books 
Rating : 8/10

Saya menyempurnakan pembacaan #Nokturna karya Karim Mohd dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang. Kebetulan, lagu puitis Bila Bulan Berwarna Biru dari Arab & Aidit didendang dengan awal lirik begitu menangkap, Malam Bulan Berendang, Berwarna Biru Di Cermin Kali. Seraya isteri saya bertanyakan apa maksud Bulan Berendang.

Berendang dengan e taling, bukan e pepet (itu rendang ayam crispy!); saya tanyakan isteri, “Selalunya rendang itu dikaitkan dengan apa?” Dijawabnya : “Pokok, pohon, rimbun-rimbun, tempat berteduh, a shelter!” Ya, benarlah itu.

Maka, saya berkongsi Malam Bulan Berendang adalah gambaran seseorang yang begitu menjadikan malam sebagai tempat teduhannya. Di bawah rendangan malam, zahir batinnya diredupkan cahaya bulan dingin sambil membiarkan dirinya bebas meski dirinya tersangkar dalam pusar kegelapan. Dan siapa lagi yang aktif pada Malam Bulan Berendang, kalau bukan makhluk-makhluk nokturna!

Image may contain: one or more people

Nokturna (nocturnal) berbanding diurnal (yang aktif waktu siang) adalah subjek yang mungkin agak asing daripada manusia biasa, namun subjek ini amat akrab dengan para penyair (juga para pengabdi – dalam lagu itu disebut pendita) lantaran kesepian adalah kewujudan paling meriah dalam diri yang bersendiri.

Di sini, Karim memilih menjadi salah seorang daripada makhluk nokturna untuk mengemudi bahtera kepenyairan debutnya, melalui penzahiran subjek sepi dengan sangat baik melalui simbol-simbol yang dekat dengan kita semua.

Di sini saya katakan, apa-apa yang disebutkan Karim dalam Nokturna mempamerkan kekuatannya – dari segi diksinya, dari segi bentuknya seperti mengikuti rapat sosok perjalanan murba kota dalam 17 siri hari-hari tanpa mimpi dan seumpama.

Secara ringkas, Karim berjaya menonjolkan zahir sepi dengan begitu kental. Apa yang Karim tintakan dalam Catatan Malam bahagian 1; itulah yang kita akan ketemukan sebijik demi sebijik – dengan cantik dan baik.

Contohnya, melalui puisi Jendela, Karim memposisikan soal penerimaan diri terhadap subjek luar diri melalui imejan subjek luar itu sebagai kamar.

kita melangkah masuk ke kamar melalui pintu
sentiasa sebagai tetamu

seperti kamar
cahaya, warna dan udara memasuki kita
melalui jendela
seluas cakerawala terbuka

lembut sekali
sampai bisu kita dengan kemesraannya;
kerana mereka masuk sebagai teman.

Andaikan kita berhadapan dengan subjek besar seumpama falsafah atau ideologi sesuatu contohnya, subjek-subjek ini hadir dengan cara yang begitu lurus namun bengkoknya tersembunyi; dengan cara begitu sopan namun kasarnya terhijab.

Kita sangka kita sedang memasukinya namun sebenarnya menurut Karim, subjek itu yang memasuki kita dengan pelbagai cara (cahaya, warna dan udara – ya seperti iklan yang membujuk dan menggoda) dan di akhir, subjek itu mengaku mereka hanya ingin berkawan - namun kita kebisuan (antara keterpanaan sambil mata hati perasan, subjek itu punya agenda ulterior motivenya tersendiri!).

Pengkisahan ini menarik dengan simbol-simbol yang baik – namun ia hanya mempamerkan skeptisme itu tanpa mempertanyakan tentang kedudukan kesimpulan yang wajar diambil. Apakah subjek itu sedari awal memang benar punya agenda? Ataukah soalnya pada “jendela” yang kita buka? Apakah begitu caranya kita menanggapi subjek – lebih serius, begitukah kita menanggapi ilmu?

Dan kesamaran bekal balik setelah pembacaan ini banyak saya ketemui dalam puisi-puisi dalam Nokturna.

Di sinilah saya ingin cuba membezakan kelemahan dengan kekurangan. Kelemahan dalam kepenyairan bagi saya adalah saat penyair cuba menulis tentang sesuatu subjek namun dia tidak beberapa berjaya sebaliknya kekurangan adalah hal yang tidak ada lantas tidak didapati dalam naskhahnya.

Darihal itu, saya secara peribadi, mendapati ada kekurangan pada naskhah ini saat mencari perkembangan makna sepi itu dari segi kepelbagaian makna wacana sepi yang pelbagai mahupun ketiadaan persoalan-persoalan yang benar-benar kuat yang hadir untuk mengganggu pendirian saya, atau perspektif saya tentang maksud sepi misalannya.

Puisi adalah luahan dalaman. Namun ketika ia dilepaskan untuk dirapungkan ke luar, penyambut luahan bukan sekadar berharap luahan-luahan puisi itu sebagai pewakilan dirinya yang sepi sahaja (luahan perasaan yang kemas); malah selaku penyambut luahan, saya juga mencari luahan pemikiran juga yang akan mencambahkan lagi kekuatan puisi-puisi Nokturna yang telah dirangkabentukan dengan cantik oleh Karim.

Karim seorang penyair yang bermula kuat namun masih ada yang kurang. Namun, Karim bermula muda dan saya berdoa agar dia tidak menjadi seperti jarum jam yang membenci waktu seperti dalam puisinya Waktu, sebaliknya waktu mencintainya dengan menuangkan segala ilmu dan hikmah ke dalam bekas bakatnya agar saat bunga api Karim terpercik menyentuh dada langit, dirinya menjadi penyair terbaik - yang pernah kita ada. Saat itu, saya tahu bahawa kematangannya akan menafikan kata-kata John Banville :

"Kami, para penulis sangat malu, 
kami makhluk-makhluk nokturnal. 
Jika dipaksa kami kepada cahaya, 
cahaya itu akan membutakan mata kami semua".

Biar cahaya yang akan membakar Karim nantinya adalah fana yakni wujud tertinggi bagi makhlukNya.

Moga-moga. Aameen.

Monday, September 10, 2018

Senima #OneTwoJaga (2018) Yang Mengenyangkan Macam Makan Ketam

1. #OneTwoJagaMovie membuatkan saya lagi faham maksud lagu zaman kanak-kanak tersebut :

"Polis entry, 
#OneTwoJaga, 
Polis mati, 
Pencuri jaga..." 

(versi Police Entry nyanyian Elizabeth Tan @elizabethtsm sejenis versi sopan, tak boleh sebut mati teeeeeet hihi, siapa yang dah tonton #OneTwoJaga akan faham teeeeet tu rujuk pada apa haha)

2. Usai menonton #OneTwoJagaMovie saya lagi faham lirik #OneTwoJaga sepertinya memesan - apabila semangat kepolisan bertunjangkan kebenaran dan keadilan yang benar sudah mati, maka yang tinggal sekalipun zahirnya polis atau pun bukan, hakikatnya mereka semua pencuri! "Polis mati, Pencuri Jaga!"

3. Kecurian ini mengingatkan saya pada kata-kata watak Baba memberi pesan pada watak Amir dalam The Kite Runner (2007) – 

“Every other sin is a variation of theft. 
When you kill a man, you steal a life. 
You steal his wife's right to a husband, 
rob his children of a father. 
When you tell a lie, 
you steal someone's right to the truth!”

4. Maka “kecurian” yang berlaku dalam #OneTwoJagaMovie bukan semata-mata tentang kecurian fizikal - wang, nyawa malah kecurian spiritual - nilai agama, harga diri, pertimbangan moral juga keseimbangan fakulti akal-emosi dan sebagainya. Ini berlaku di setiap peringkat, dari golongan paling merempat hinggalah golongan paling atas lagi dilihat hebat – semua mereka hakikatnya keparat bila rela mencuri dari apa juga segi, atas apa jua alasan.

5. #OneTwoJaga bernaratif sejak detak bunyi laporan polis awal sampailah babak pertama Hussein - watak @ZahirilAdzim kemudian flashback untuk rentetan peristiwa selama sehari itu sehinggalah sambung kembali babak pertama; memberikan goosebumps sedari awal mengapa Hussein begitu dalam "state of confusion"? Sebagaimana dalam Pekak (2015), Zahiril Adzim memberikan wajah terbaiknya; begitu juga berkesinambungan dalam #OneTwoJaga saat segala pusar cerita dalamannya begitu gusar terukir di wajah Hussein seperti kelemasan yang panjang dalam ganas lautan bergelombang. 


6. Ini amat menarik lantaran Hussein dalam #OneTwoJaga seorang polis baru  (maka masih idealis yang mengharapkan utopia?) yang masih kental berprinsip zahirnya; sebaliknya senpai sepasukannya, Hassan lakonan watak Dr Rosdeen Suboh (ya, Rosdeen Suboh seorang pemegang PHD dan kini tenaga akademik di Universiti Malaya, rujuk : https://umexpert.um.edu.my/kudin.html) adalah antagonis bagi Hussein (yang lebih memijak bumi?) Apakah Hussein sejenis false protagonist sebenarnya? Di sinilah, bagi saya kuatnya mesej #OneTwoJagaMovie apabila di hujung, kita sukar untuk memutuskan hitam dan putihnya, lantaran setiap wataknya sudah menjadi begitu kabur kelabu.

7. Persoalan ini munasabah kerana ini zaman fitnah (wah, #Munafik2 benar bunyinya); di mana siapa benar, siapa salah sukar diputuskan dan ini membuatkan saya lebih sedar, lantaran itu kita perlukan mahsyar dari Tuhan untuk memutuskan keadilan bagi merungkaikan kesamaran nilai yang dipersembahkan oleh #OneTwoJaga.

8. Temuramah dengan produksi #OneTwoJaga mendedahkan betapa mesej mereka adalah dalam kes polis yang melakukan jenayah - yang bersalah bukanlah institusi tetapi individu. Ya, saya sangat sangat dapat tangkap ini memandangkan #OneTwoJagaMovie mendedahkan hal ini dengan begitu amat subtle!

9. Perhatikan di hujung itu, berapa orang yang memakai topi polis? Cukup setakat itu. Nanti dedah spoiler besarlah pulak dlm #OneTwoJaga - objek atas kepala itu besar maknanya, ia lambang tokoh juga maruahnya, seperti serban atas kepala Tuan Guru; mortarboard atas kepala graduan mahasiswa.

10. Rakan penulis saya memberitahu bahawa dia puas hati dengan semua watak kecuali 2 orang anak Hassan & isteri Hassan, watak Vanidah Imran; katanya watak-watak mereka sekadar connecting dots. Saya sangkal pendapat ini; bahkan ketiga-tiga watak ini amat amat signifikan kerana mereka berperanan sebagai gandar-gandar yang memikul perkembangan watak Hassan selaku suami dan ayah (versus Sugiman selaku ayah kepada anaknya Joko) selain melancarkan subteks naratif Hassan dalam #OneTwoJaga bagi memuncratkan mesej ‘disguised stance’ yang menatijahkan putus tindak Hassan.

11.  Di sinilah kehebatan Nam Ron selaku sutradara #OneTwoJaga; sekalipun ketiga-tiga watak ini tidak sentral dalam lakonan malah line dialognya boleh dibilangi jari, tetapi merekalah lapik alasan keseluruhan tindakan Hassan. Imej pohon rendang - bagi saya, pohon rendang itulah Hassan - soalnya kenapa pohon rendang?

12. Selain "buah lebat" (laba duniawi yang banyak, hidup senang); kerana "akar kuat" (keherotan makna dari jati diri bagi pesan asal bonda Hassan, namun bagi Hassan ia merujuk kepada keinginan untuk menongkah arus undang-undang seraya berani berbuat dosa), kerendangan pohon menumpahkan bayang-bayang. Bayang-bayang inilah kedua-dua orang anaknya. Seperti takkan tumpah kuah kalau tidak ke nasi.

13. Malah, bukankah Hassan sebut "Mak aku pesan, akar kuat, buah lebat." Di sini, mesejnya adalah berlegasi dari nenek-anak-cucu cuma terjemahan tindakan adalah kerana desakan keadaan yang membezakan perjuangan Bonda Hassan membesarkan Hassan dengan tulus dengan Hassan membesarkan anak-anaknya seperti kata-kata Sumiyati - watak Asmara Abigail kepada abangnya, Sugiman, "Aku tau kau selalu punya rencana, tapi aku tak yakin dengan keadaan!"

14. Beza simbol kedua-dua anak Hassan ini adalah anak perempuannya itu adalah sisi suci Hassan (melalui simbol “tangkal” yang dilukis sendiri anak perempuannya; selalunya tangkal kereta itu, kita letak nama Allah, nama Muhammad atau ayat Kursi tapi bagi Hassan, dia memilih meletakkan “tangkal anak perempuannya” menunjukkan teramat penting keluarganya - sekalipun ironi sehingga “terpaksa” dirinya melanggar nilai-nilai agama dan moralnya sendiri).

15. Sebaliknya anak lelaki Hassan adalah sisi gelap Hassan (naratif leterannya pada anaknya di dalam kereta setelah digantung sekolah itu adalah hakikat dirinya sebenar). Dengar betul-betul apa Hassan cakap dekat anaknya, segala mala yang disebutnya itulah yang sedang Hassan buat waktu itu untuk menjustifikasikan tindakannya di dalam #OneTwoJaga seperti kenapa Hassan tak tangkap ikan-ikan bilis sebab kononnya tak mahu terlibat dengan chain of reaction (macam kes buli anaknya) sebaliknya dia tak sedar bahawa dia telah secara automatic termasuk ke dalam chain of corruption pula. Namun dia tidak kisah, sebab "aku hanya bahagia, bila anak-anak aku bahagia”.

16. Hal yang sama berlaku pada watak Vanidah Imran sebagai sama-sama marhaen; untuk menonjolkan dirinya tinggi dalam mata masyarakat, watak Vanidah perlu kawin dengan orang punya tempat dalam masyarakat seperti imam, cikgu dan ya, polis! "Kau ingat kenapa aku boleh kahwin dengan abang kau ni? (rujuk Hassan)" kata watak Vanidah kepada Hussein ketika menjamunya makan tengah hari di hadapan Hassan secara langsung! Sebab itu, ramai sebut – Vanidah hanya muncul 3 babak, tetapi ketiga-tiganya diingati tanpa gagal!

17. Malah kes "nak duit untuk bayar melancong keluarga besarnya itu" (hal tahsiniyyat) diulang-ulang dalam #OneTwoJaga untuk meletakkan persoalan bagaimana marhaen "mencari tempat" untuk diiktiraf selain watak-watak pendatang Pinoy & Indonesia mencari rezeki dharuriyyat dan hajiyyat dalam #OneTwoJagaMovie.

18. Imej kebebasan dalam #OneTwoJaga dipamerkan cantik; Sugiman sorok Sumiyati dekat MERDEKA (mahu bebas!) Hotel; masa Adi lakonan @Amerul_Affendi cerita pasal tubuh & rawat itu di belakangnya berkibar Bendera Malaysia dan sebagainya membuktikan @_Nam_Ron_ sangat teliti dalam pembikinan sinemanya!

19. Malah, perhatikn no plat kereta dalam #OneTwoJaga. Semua no plat kereta bermula W kecuali satu kereta, kereta Pak Sarip/Adi (watak “bridge” kepada segala korupsi dalam naratif ini) bermula dengan C. Hehe. Saya nampak ada makna nakal (dan berani!) Haha. Hal ini ramai pengkritik barat sebut dalam magnum opus Stanley Kubrick melalui filem #TheShining (1980) tentang susunan-susunan kereta-kereta yang termasuk dalam frame di depan Overlook Hotel di dalam filem itu.

20. Babak-babak dalam #OneTwoJaga juga sangat memorable. @chewkinwah dengan kias-kias Ketam dan Anjingnya yang wow! "Kalau nak sedap, "ketam" ni kena "ketuk"!" Haha Gulp si @ZahirilAdzim waktu ini haha. Dan syarah Adi, watak @Amerul_Affendi kepada Joko watak adik Izuan Fitri tersangatlah wow!

21. Dalam #OneTwoJaga tidak ada satu frame pun yang sia-sia. Semuanya berfungsi dengan baik sekalipun filem ini sependek sejam dua puluh minit sahaja tapi rasa kenyang amat. 

22. Oh ya, nombor keramat 013-303 3003 kalau tak salah. 333 adalah angelic number. The number for AID and ENCOURAGEMENT. Haha. Bagi penjahat, ketua penjahatnyalah "malaikat"! Haaaa subtle tak subtle tak? Haha. Hebat #OneTwoJaga #OneTwoJagaMovie!


23. Antara babak yang aku sangat suka dalam #OneTwoJaga adalah scene hujung hukuman kemudian fireworks; ia seumpama joyous punishment seumpama schadenfreude; seperti #Kingsman semasa babak mass murder dekat dalam gereja atau mass murder di hujung ceritanya di dalam tempat berkumpul orang-orang kaya, mereka guna joyous rhythm. Ini ialah Soundtrack Dissonance.

24. Soundtrack Dissonance itu teknik jukstaposisi untuk merengangkan jurang emosi penonton dengan apa yang berlaku; babak hukuman itu negatif, bunyi fireworks pula positif, jadi kita ada jurang emosi untuk berfikir secara mendalam berkenaan perasaan yang pelik itu bagi melihat bahawa "mankind is both glorious & murderous".

25. Glorious bagi "kuasa jahat" bahawa "pengkhianat-pengkhianat" mereka terhapus; namun bagi kita, kita tahu hukuman "murderous" itu tidak lebih daripada satu lagi tragedi nyahinsan yang berlaku begitu sadis dalam kalangan pendatang asing dalam #OneTwoJaga; sungguh scene itu seumpama creepy children song yang kalau diperhati adalah lagu #OneTwoJaga itu sendiri!

26. "Polis entry, #OneTwoJaga Polis mati, Pencuri jaga" Tidakkah ini Soundtrack Dissonance yang jelas? Bagaimana sebuah lagu yang menyebutkan tentang kematian integiri seorang polis boleh dirai-raikan dengan melodi gembira? Inilah inti creepy sebagaimana creepy-nya isu yang ditonjolkan dalam filem ini! Sekali lagi, ternyata Nam Ron telah melayarkan tafsiran yang amat berseni bagi lagu kanak-kanak lagenda itu.

27. Khulasahnya, hebatnya #OneTwoJaga ni, dengan menontonnya - kau nak pi deep, kau boleh menyelam deep sampai dasar; kau nak main surface, kau boleh meluncur di surfacenya dari Subuh sampai Asar!

Tuesday, September 4, 2018

Apa Masalah #Munafik2 (2018)

Tulisan ini diterbitkan di KakiSinema [KLIK]

1. Masalah #Munafik2 bukanlah masalah tidak memahami makna munafik (malah saya rasakan ayat-ayat ruqyah yang amat banyak itu sepatutnya ada subtitle sekali kerana ayat-ayatnya ada perkaitan terus dengan babak, contoh waktu penampakan ular, Ustaz Adam membaca ayat-ayat berkenaan sihir ular oleh tukang sihir Firaun) tetapi masalah #Munafik2 adalah tentang cara pengolahan naratif yang bersifat lambak lagi mentah sekaligus tidak memenuhi ciri-ciri "subtle" yang menjadi kemuncak seni senima.

2. Apakah itu subtle? Ringkasnya, "Being subtle is the act of conveying something in a skillful or clever way versus in a direct manner." Merriam-Webster mengertikan kualiti "subtlety" sebagai "having or marked by keen insight and ability to penetrate deeply and thoroughly".

3. Lois Lowry, penulis 45 buah buku cerita kanak-kanak dari Amerika Syarikat menegaskan, "I'm a writer; I like to retain subtlety and nuance". Pelik tak? Nak tulis cerita kanak-kanak je pun, kenapa perlu jaga subtlety? Dengan jelas Lois mengisyaratkan kehebatan sesuatu naratif (sama ada dalam cerpen, novel apatah lagi skrip lakonan sama ada teater, drama apatah lagi filem) adalah tertonjol pada sejauh mana kemampuan pengkaryanya begitu "subtle" atau paling tidak meletakkan "subtlety" dengan bijak pada subjek yang ingin diperkatakan secara teks mahupun subteks.

4. Pendek cerita, kalau seni tidak memberikan "subtlety", nak harapkan medium apa lagi ? Kalau semua subjek dipaparkan secara literal, baik kita Google ruqyah Darul Shifa lagi meremang sebab rasukan itu benar-benar terjadi! Malah kita boleh Youtube sahaja Abu Rukyah, pasti berjumpa siri video berkaitan rasukan - siap ada jin masuk ke dalam tubuh seraya bercerita mentah sepatah-sepatah fasal Dajjal, Illuminati dan seangkatan.


5. Antara kelemahan "subtlety" ketara dalam #Munafik2 adalah Deus-Ex-Machina. Apakah ini? Deus-Ex-Machina (DEM). Tuhan Sebagai Mesin. Tuhan Jentera. Al-kisahnya, dalam drama Yunani purba, watak tuhan diselitkan dalam cerita untuk menyelamatkan situasi yang genting. Dalam sastera klasik Melayu, biasanya ia ditandai dengan, "...maka dengan sekonyong-konyongnya...". Ini adalah teknik seni antara paling kuno (dan agak "terkutuk"lah) lantaran pengarang mengakhirkan cerita dengan campur tangan Tuhan sebab penyelesai masalah sekaligus mengisyaratkan betapa cerita itu tidak dapat ditangani oleh pengkarya dengan menyakinkan. Sebenarnya DEM okay sahaja digunakan sebab Charles Dickens dalam Bleak House (1852) dan Joseph Fielding dalam Tom Jones (1749) pun guna, namun rata-rata pengkarya cuba mengelakkan DEM sebab "nampak murah" seperti kehabisan idea dalam berkarya; eksposisi sudah baik, komplikasi sudah elok tiba-tiba masuk resolusi jadi "terpeleot".

6. Sekalipun begitu, sekiranya Deus-Ex-Machina ini dibina elok-elok seraya jelas sebab dan akibatnya, ia masih baik. Contohnya, babak hujung filem Isi Neraka yang dilakonkan oleh Allahyarham Salleh Kamil [tonton di https://www.youtube.com/watch?v=rNA2xdSPEYk&feature=youtu.be]

Sebab : Watak Salleh cabar Tuhan secara direct di langit
Akibat : Merasalah dia kena telan bumi

[cantik falsafah mise-en-scene ini; apabila watak Salleh tenggelam ke dalam bumi (neraka di tujuh petala bumi), menunjukkan dia semakin jauh dengan langit yang dicabarnya (syurga di tujuh petala langit) lantas menunjukkan semakin jauh hubungan dia dengan Tuhan kerana tindakan keterlaluannya yang terpesong lagi sesat]

7. Tetapi di dalam #Munafik2 dah macam Jesus Crucifixion; "Eloi, Eloi, lama sabachthani - Tuhan, Tuhan, Awat Hang Tinggai Aku" (versi Ustaz Adam ala taubat; akhirnya terbukti betapa ketaranya Syamsul Yusof rujuk filem religis Kristian, Passion of Christ), tiba-tiba gempa, Abuja kena hempap. So DEM dia macam hmmmmmmm itu je. Sudahlah sama kaedahnya dengan pengakhiran Pak Osman dalam #Munafik1, malah lebih teruk kerana setidak-tidaknya kemunculan Pak Osman secara "abrupt dan sudden" itu juga suatu teknik twist yang menjadi! Tapi kali ini? Momentum tidak ada, seperti dipaksa-paksa pula.

8. Sebenarnya, adalah lebih wajar Syamsul letakkan baris dialog yang berani mati pada Abuja. Bukankah Abuja mendabik dada betapa Tuhan bersama dengannya. Justeru, perlawanan kata itu wajar ada dengan Ustaz Adam. Contohnya, "Oi Adam, lihat kau sekarang, lihat aku sekarang. Antara kau & aku, Tuhan brsama dengan siapa, ha? Tuhan mana yang nak tolong kau sekarang? Haha!" Kemudian, barulah hadir gempa bagai semua, barulah jelas sebab-akibat dalam naratif. Ini diletakkan setempek Deus-Ex-Machina selepas segala mala roller coaster ride show, memang membahanlah jawabnya!

9. Selain itu, penonjolan watak munafik, dah nama filem #Munafik2. Tentang watak Fizz Fairuz yang cuba untuk ditwist tetapi tidak menjadi. Mengapa? Kerana isyarat twist itu tidak kukuh. Ada tiga isyarat. Pertama, bayangan watak Fizz dalam mimpi Ustaz Adam (sangat cliche untuk isyarat twist). Kedua, sewaktu Ustaz Adam meminta izin ibunya, watak Fizz menghalang tetapi percakapannya tenggelam lantaran fokus pada gesaan ayah dan penolakan ibu Ustaz Adam, malah syot kamera tidak membantu memberikan bahasa tubuh watak Fizz yang sepatutnya diberikan pada ketika itu.

10. Dan ketiga, sewaktu watak Fizz beralasan dengan Ayah Ustaz Adam untuk tidak mahu melaporkan ke pihak polis tentang Abuja. Masalah ketara isyarat twist kedua dan ketiga ini ialah filem ini hanya bergantung kepada skrip, bukan bahasa tubuh (seperti lirik mata, gerak bibir, riak wajah etc) yang boleh dizahirkan pada kamera secara bisu tanpa dialog.

11. Antara moment yang lain yang boleh diberikan lagi isyarat twist pada watak Fizz adalah ketika Abuja tiba-tiba muncul di penambang sementelahan Ustaz Adam, watak Fizz dan watak Mawi bertolak pulang di dalam sampan. Tambah malang, sewaktu penonjolan watak munafik Fizz itu atau kita sebut the moment of Judas, amatlah sekejap benar. Tak sampai beberapa minit, watak Fizz sudah bertaubat; "aku bertaubat, aku bertaubat" seraya twistnya terasa hambar.

12. Selain tu, ada percubaan untuk moment of truth bila Sakinah kata, Aina tu anak Abuja; punyalah try hard untuk naikkan naratif dengan moment ni sampai ulang 2/3 kali tapi apa signifikannya? Abuja masih berlaku kejam kepada Sakinah dan Aina, maka? I can't brain this act dalam #Munafik2

13. Dan lagi kelakar, lepas plot rasukan Sakinah yang tanpa dinafikan memang powerful dengan sihir ular segala bagai sampailah diisytihar Imam Malik dah lama mati; tiba-tiba boleh pulak mayat Imam Malik kacau balik Sakinah lagi main tasbih, kemudian tahu-tahu melompat ke babak Imam Malik selamat dikebumikan. Oleh itu, babak ini diwujudkan sekadar untuk main tasbih saja ka dalam #Munafik2?

14. Berkenaan plot twist, ketahuilah - twist bukan sekadar perubahan watak, so called moment of Judas for Jesus or Brutus for Caesar; rujuk macam mana Tanah Kubur Ummah Jahiliyyah masa watak Zahiril & watak PU Azman dalam merungkaikan watak Hasnul Rahmat, ia masih boleh disifatkan sebagai twist tapi hakikat watak tidak berubah, bahkan suatu perangkap! Malah saya merasakan naratif Tanah Kubur Ummah Jahiliyyah berkenaan lagi powerful daripada #Munafik2 dalam menceritakan isu clan ajaran sesat. Saya meminati Mengaku Rasul (2008) dari seberang dalam genre ini, naratifnya menarik dan agak unik, tanpa jerit-jerit namun tetap memukau magis, cuba tonton!

15. Dalam #Munafik2 Abuja cuba ditonjol sebagai Dajjal-Dajjal kecil sebelum kedatangan Dajjal sebenar. Tapi bagi saya merasakan ia merupakan suatu kehinaan kepada Dajjal sendiri memandangkan kedajjalan Abuja tidak lebih dari dialog yang menggunakan pengaruh kuasa, bongkak tak bersebab, senang cerita - bodoh sombong. Walhal, Dajjal lebih dekat dgn pengaruh magis, di mana fitnah Dajjal ini amatlah subtle, memukau, buat kau fikir eh ada betulnya Dajjal ni bla bla bla sebab itu wajar kita merujuk kembali kisah Iblis memperdayakan Nabi Allah Adam. Iblis tak jerit-jerit dekat Nabi Allah Adam; Iblis hasut perlahan-lahan, mempengaruhi fakulti akal seraya rasional sembari emosi agar mangsanya masuk sendiri ke dalam perangkap!

16. Contoh spesies Dajjal/Iblis yang macam ini boleh kita temui di dalam filem Iman (1954), watak Allahyarham Raja Mahadi sebagai Iblis atau filem Sumpah Orang Minyak (1958), watak Allahyarham Shariff Dol selaku Syaitan kalau pun kita tak mahu rujuk barat dalam The Devil's Advocate (1997) lakonan Al Pacino; inilah filem-filem yang sewajarnya #Munafik2 rujuk.

17. Benar, sememangnya ada percubaan dalam #Munafik2 dalam mewujudkan "battle of words"; contoh masa Abuja perli Ustaz Adam, kenapa Ustaz Adam tak pakai serban, maka Ustaz Adam pun sebut Serban ini Sunnah Jibiliyyah. Saya agak kagum. Sekali Abuja balas, kau siapa nak pertikai ilmu aku? Terus dari kagum jadi tertekan. Setakat itu saja Abuja dapat balas?

18. Patutnya, selaku Dajjal kecil yang sepatutnya licik dan nampak alim laginya baik, Abuja kena la nampak educated sikit, quote ayat-ayat al-Quran macam Ustaz Adam; contoh masa Abuja sebut Ustaz Adam kena berubah dulu, Abuja quote la, "kabura maqtan indallah...", "murka Allah besar bagi yang tak buat apa yang dia katakan"; barulah nampak kenapa Abuja jadi Tuan Guru as opposed to Fauzi Nawawi, the sidekick dalam komplot itu.

19. Sebab ini jugalah saya benar-benar tersinggung dalam #Munafik2 apabila Syamsul menggunakan firman tentang ulama-ulama jahat seumpama "kalbun" (anjing); ya, jelas-jelas ia merujuk kepada Abuja. Tapi apakah ada tanda-tanda Abuja sebagai ulama (kalaupun seperti anjing) sekiranya secebis firman pun Abuja tak lafaz selancar Ustaz Adam? Celah mana Abuja ulama?

20. Contoh menarik dalam #Munafik2 ialah penamaan watak Abuja. Hujung, Ustaz Adam sebut, Haza Firaun Hazihil Ummah. Ni ada kaitan dengan hadis, Abu Jahal ialah firaun ummah ini. Abu Jahal. AbuJa. Rujuk hadis ini :

Hazrat Abdullah ibn Mas’ood (Radiallahu Ta’ala Anh) narrates, “I began to strike Abu Jahl’s head with my blunt sword, which made him loosen his grip on his sword, so I took it from him. As he was dying, he moved his head up and asked, “Who won the battle?” I answered, “Allah and His Rasool (Sallallahu Alaihi Wasallam).” Then I shook his beard and said, “Praise be to Allah who disgraced you, oh enemy of Allah!” I then removed his helmet and swung a heavy blow to his neck with his own sword separating his head from his body. I then removed his weapons and armour, and took his head to the Beloved Rasool (Sallallahu Alaihi Wasallam) and said, “Ya Rasoolullah (Sallallahu Alaihi Wasallam), here is the head of Abu Jahl”. Rasoolullah (Sallallahu Alaihi Wasallam) said three times, “Praise be to Allah who has glorified Islam and the Muslims.” Then he (Sallallahu Alaihi Wasallam) prostrated to thank Allah and said, “Every Ummah has a Firaun, the Firaun of this Ummah was Abu Jahl.”

21. Ya, unsur-unsur Firaun ada dalam watak Abuja tapi tak cukup kental sedangkan Syamsul boleh rujuk skrip Firaun di dalam al-Quran yang boleh diiqtibaskan (bagi yang belajar balaghah boleh relate*). Contoh, masa Abuja hentam Namron, boleh sahaja susun skrip macam firman "dan berkatalah Firaun, "Hai Haman, buatkanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu, (iaitu) pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku memandangnya seorang pendusta." (al-Mu'min: 36-37). Ubah suailah sedikit ayatnya dengan seni dialog gaya Firaun agar nampak variasi dan tidaklah Abuja asyik mengulang-ulang "kau sapa nak lawan aku...etc" #Munafik2

*Pengertian Iqtibas :
تَضْمِينُ النَّثْر أو الشِّعر شَيْئاً
مِنَ الْقُرآن الكريم أو الحديثِ الشريفِ
مِنْ غَيْر دلالةٍ عَلَى أنَّهُ منهما
ويَجُوز أنْ يُغَيِّرَ في الأَثَر الْمُقْتَبِس قَليلاً.

Iqtibas adalah mengutip suatu kalimat dari Al-Qur’an atau Hadis, 
lalu disisipkan ke dalam prosa atau syair 
tanpa dijelaskan bahwa kalimat yang dikutip tersebut 
diambil dari Al-Qur’an dan Hadis. 
Pengutip diperkenankan mengadakan sedikit perubahan.

22. Ada yang cakap, filem #Munafik2 dibikin semacam direct kerana dakwah kena direct, maka diberinya dalil al-Baqarah ayat 23-24. Well, cuba tengok pulak gaya bahasa Al-Quran dari ayat pertama surah al-Munafiqun - betapa subtle-nya geng munafik ini :)

إِذَا جَآءَكَ ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ قَالُواْ نَشۡہَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ ۥ وَٱللَّهُ يَشۡہَدُ إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِينَ لَكَـٰذِبُونَ 

Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.

23. Setelahnya pada ayat kedua pula, geng munafik ini digambarkan sebagai sejenis yang akan guna segala macam cara untuk cover perangai sebenar - kosa yang digunakan ialah "junnah" yakni "perisai" atau semacam "tameng" untuk menutup segala kelakuannya; soalnya dalam #Munafik2 sejauh mana Abuja berjaya sebagai munafik se"subtle" ini?

ٱتَّخَذُوٓاْ أَيۡمَـٰنَہُمۡ جُنَّةً۬ فَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّہُمۡ سَآءَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ 

Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

22. Dalam #Munafik1 kita dapat tengok subtlenya watak Pekin sebagai Fazli kekasih Maria, subtlenya watak Sabrina sebagai Zeti isteri Pak Osman yang dibiaskan sebagai munafik-munafik walhal tidak; malah Maria, Ustaz Adam juga ada sisi kemunafikan tersendiri; tetapi hal ini tidak sekaya dalam #Munafik2 dan hal-hal sebeginilah menyebabkan kita kecewa kerana tiada nilai perkembangan munafik yang berkembang baik, malah mengecut balik ke belakang!

23. Saya ternanti-nanti pengkritik lain yang boleh mengangkat #Munafik2 dengan penilaian merit seni dari segi semiotik ka, narrative structure ka, contextual analysis ka, mise-en-scene analysis ka dan seumpama; setakat saya jumpa ada satu point dikatakan positif iaitu subjek religi exorcismnya segar kerana adanya subjek Dajjal. Saya ada masalah dgn kenyataan ini. Subjek Dajjal dalam #Munafik2 tidak berkembang memandangkan dalam #Munafik1 Dajjal sudah jelas diperkenal. Rasukan Maya Karin mmg terbaik; tetapi perhatikan dialog "jin yahudi"nya, tidak banyak beza dengan skrip Maria oleh Nabila Huda.

24. Subjek Dajjal tersangatlah besar dalam ilmu eschatology Islam, kalau tak kenapa tiap kali hujung tahiyyat, Rasulullah solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam suruh kita baca doa berlindung daripada fitnah Dajjal. Saya ternanti-nantikan perkembangan syarahan tentang Dajjal tetapi hampa tidak berkembang dalam #Munafik2. Hadis Rasulullah solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam ada sebut tentang Dajjal ini dikalahkan dengan dalil, kerana jika dia muncul pada masa Rasulullah solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam, Rasulullah solla Allahu 'alaihi wa aalihi wassalam sendiri akan mengalahkan Dajjal dgn dalil. Sebab itu saya sangat-sangat hampa apabila dialog-dialog Abuja di dalam #Munafik2 (sebagai Dajjal kecil itu) sekadar perlawanan kata-kata atas pengaruh kuasanya sebagai ketua ajaran sesuatu bukan atas kekuasaan dan kekayaan ilmunya berbanding Ustaz Adam.

25. Untuk rekod, saya ada puji #Munafik di sini : http://zaimterbang.blogspot.com/2016/03/kemunafikan-yang-wajar-diraikan-filem.html?m=1  tetapi maaf, bukan untuk #Munafik2 yang banyak isu seputarnya!

Sekian.

Pautan asal di Twitter :
Disalin kembali ke blog juga di :

Monday, June 4, 2018

Keanggunan Sinema Puitis Dalam Dukun (2018)


Bagi mengaitkan antara seni puisi dengan seni sinema, kita seyogia kembali kepada pelopor-pelopor dalam kedua-dua bidang.

Robert Frost, penyair terkenal Amerika memperihalkan seni puisi itu lahir bagi merungkaikan kecelaruan penyampaian maksud (lost in translation). Ini bermakna puisi mempermudah maksud yang payah.

Manakala Roman Polanski, sutradara Perancis pula memperihalkan seni senima sebagai "sinema sepatutnya membuatkan kita terlupa bahawa kita sedang duduk di dalam pawagam". Ini bermaksud kesan sinema tidak berakhir di pawagam bahkan dibawa pulang ke dalam kehidupan.

Darihal itu, apabila sinema semisal Dukun mempermudah wacana yang sukar sambil mengesani masyarakat secara emosi mahupun intelektual, tidakkah boleh disimpulkan bahawa kemuncak senima itu pada kepuitisannya dan kemuncak puisi pula pada tahap kemampuannya diterjemahkan dengan baik di layar perak?

Penyair mapan, Zaen Kasturi dalam Kata Pengarang, Kata Pembaca anjuran PENA pernah menegaskan bahawa di akhir, puisi adalah tentang kata-kata. Kata-kata yang dimaksudkan Zaen sudah semestinya melangkaui alat-alat majaz semisal simile dan metafora. Ini adalah kerana kemampuan karya sinema untuk menterjemahkan metanaratif pastinya berkehendakkan alat majaz yang lebih besar seperti alegori. Alegori ialah pengkisahan melalui sekumpulan watak dan sekelompok peristiwa bagi memudahkan penyampaian idea naratif dan wacana yang pada asalnya kompleks.

Contohnya, dalam puisi yang baik seperti puisi panjang Sungai Sejarah karya SN Muhammad Haji Salleh, kita dapat menemukan pelbagai tafsiran makna. Menurut Mana Sikana, Sungai Sejarah adalah tentang makna hayat perjalanan sungai itu sendiri, selain makna kehidupan manusia dan juga makna perkembangan sesebuah tamadun. Malah, puisi ini juga memperihalkan perkembangan intelektual SN Muhammad sendiri dalam kepenyairannya. Inilah keindahan multitafsiran yang dicakupi dari aspek ketaksaan (ambiguity).

Dalam sebuah sinema, kita akan menemukan dua jenis bahasa iaitu bahasa verbal dan bahasa visual. Bahasa verbal secara mudahnya berkaitan dengan perkataan seperti percakapan yang dicerakinkan kepada dialog, monolog dan senandika.

Manakala, bahasa visual pula adalah sejenis bahasa bukan verbal yang melibatkan imej. Malah visual menjadi asas kepada kelahiran sinema pada tahun 1895 apabila adik-beradik Lumière di Paris menayangkan 10 filem pendek untuk tontonan awam. Filem-filem awal seperti ini semuanya berwarna hitam putih, panjang di bawah seminit dan tidak mempunyai bunyi.

Jika diteliti, mana-mana puisi yang baik juga mengandungi kedua-dua bahasa ini. Bahasa verbal puisi adalah diksi-diksi perkataan terpilih dalam susunan terpilih. Manakala, bahasa visual puisi pula terletak pada imejan yang dimaknakan melalui simile, metafora, metonimi bahkan alegori. Di sini, Dukun memberikan kita kedua-dua pengalaman sinematik dan puitik yang bukan sahaja berkesan bahkan baik.

Dari sudut bahasa verbal, Huzir Sulaiman selaku penulis lakon layar Dukun begitu anggun memperagakan suara Diana lakonan Umie Aida dan suara Daud lakonan Allahyarham Ramli Hassan melalui bahasa figuratif yang begitu berseni.

Apabila Diana melontarkan, “Keinginan untuk bersetubuh sama dengan keinginan untuk membunuh”, kita bukan sekadar menikmati asonansi huruf U mahupun ironi sebagai piranti stilistiknya, bahkan dialog puitis ini membuka wacana Sigmund Freud tentang eros (keinginan untuk menghidupkan) dan thanatos (keinginan untuk mematikan).

Begitu juga apabila Daud mengingatkan Detektif Talib bahawa, “Orang sekarang sembah ke pelbagai sudut muka bumi. Aku harap bila kes ini dah habis, kau masih menghadap Mekah.” Ucapan Daud ini bukan sekadar mempertentangkan ketaksaan tentang makna sembah yang disimbolkan dengan perbandingan pelbagai arah kemudian dikhususkan kepada Mekah (tempat tumpuan paling utama umat Islam) bahkan ia anak kunci utama kepada peleraian naratif Dukun.

Selain itu, suara Daud ini memberikan paksi kepada falsafah titik tengah tumpuan dalam sebarang wacana Dukun. Contohnya, melalui simbol satira sepak lintang Zidedine Zidane ke titik tengah padang yang akhirnya membawa kepada penemuan mangsa-mangsa teramai Diana.



Keampuhan bahasa verbal ini disepadukan dengan bahasa visual sutradara Dain Said yang matang melalui naratif syot kamera dan rupa adegan (mise-en-scene) yang bererti. Bahkan yang lebih utama, imejan falus (phallus) digunakan secara konsisten menerusi Tongkat Batak sebagai simbol kekuasaan sosok lelaki berpengaruh yang menjadi ‘kiblat yang disembah’ Diana untuk didagangkan kepada Datuk Jefri Jailani sekali gus membawa kita kepada pencungkilan tiga jenis wacana.

Pertama, Dukun adalah tentang kuasa gender melalui kritikan feminis terhadap patriaki yang mengejalakan misogini. Menurut Dain Said, “Jika direnung dengan lebih mendalam, Dukun adalah tentang hubungan lelaki-perempuan. Diana seorang wanita yang kuat namun apakah dirinya seorang mangsa, pemangsa atau dia sendiri sedang mencari siapakah dirinya yang sebenar?”.

Kedua, Dukun adalah tentang kritikan terhadap kekuasaan sosok berpengaruh dalam masyarakat pelbagai latar belakang melalui kepelbagaian saksi mahkamah dan mangsa-mangsa Diana. Ini kritikan terhadap politik menurut pengulas filem, TontonFilem sebaliknya Ku Seman berpandangan Dukun membawa wacana tentang teori konspirasi.

Ketiga, Dukun adalah tentang pencarian diri untuk memilih asas pegangan antara hak dengan batil yang ditamsilkan dengan ‘kiblat mana yang disembah’. Sila renung keselarian bentuk Tongkat Batak yang hilang sepanjang kes Diana di mahkamah dengan bentuk tiang-tiang di Masjid Jamek sewaktu Karim bertafakur seorang di penghujung cerita.

Inilah kekuatan ketaksaan Dukun yang membawa pelbagai tafsiran makna wacana sekali gus memenuhi ciri-ciri penting puitis yang terdapat dalam sebuah karya seni yang baik seperti dalam puisi SN Muhammad. Malin Kundera, novelis Perancis kelahiran Czech pernah mengujarkan, “(Di dalam karya seni), semakin besar ketaksaan, semakin besar kenikmatannya!”.

Ringkasnya, tidak syak lagi kita perlu mengangkat Dukun sebagai sebuah sinema puitis seraya belajar daripadanya sebagai sebuah tanda aras sinema tempatan yang menyegarkan minda dan meneguhkan akal budi. Mudah-mudahan melaluinya generasi seni tempatan akan memahami bahawa senima bukan sekadar naratif berseni tetapi juga wacana penuh dengan kesedaran diri.

Wednesday, May 30, 2018

Kisah-Kisah Latar Puisi "Memeluk Ramadan" Terbit Mingguan Malaysia, 27 Mei 2018

1. Ia bermula dengan ngomelan penyair Shafiq Said di status Facebook berbunyi : "Aku harap tahun ni tak ada puisi Ramadan yang tersiar di mana mana media." Penyair Haniff Nasir menghuraikan maksud Shafiq dengan mencabar bilamana menulis puisi, harapnya tiada kalimah Ramadan di dalamnya. Ini saya jawab dengan puisi "Di Perkumpulan Saf" minggu lepas di Berita Harian, 20 Mei 2018.

2. Mengenali puisi-puisi Shafiq, saya tidak rasa Shafiq memaknakan sedemikian radikal. Jadi, puisi Memeluk Ramadan ini pula lahir bagi menjawab status Shafiq di mana ingin saya tegaskan; puisi masih boleh ditulis dengan baik sekalipun subjeknya bulat ditonjolkan. Tinggal lagi, bagaimanakah kita mengambil sudut renungan juga cara pengungkapan yang boleh menarik perhatian dan pemikiran pembaca.

3. Ini membawa kisah kedua di mana saya berfikir apakah hal yang jarang (setakat ini saya belum jumpa, siapa pernah jumpa boleh maklum) digandingkan iaitu perihal kembalinya anak-anak ke pangkuan ibu ayah di desa dikaitkan dengan Ramadan. Klisenya hal ini digandingkan dengan Aidilfitri. Dari situ saya mendudukwajarkan mengapa Aidilfitri?

4. 'Aid al-Fitr. 'Aid (عید) berasal daripada `aud bererti ulangan. Ulangan ini bermakna kejadiannya berulang saban tahun maka diterjemahkan di akhir sebagai Hari Raya, juga bermaksud kegembiraan yang berulang juga nikmat yang banyak dan berulang dari Allah Taala kepada para hamba. Di sini juga sering disebut, minal aaidin (عائدين) wal faaizin (فائذين); (semoga menjadi) dalam kalangan orang-orang kembali dan berjaya.

5. Kembali kepada apa? al-Fitr. Berjaya apa? Mencapai al-Fitr. Apa itu al-Fitr? Fitrah. Fitrah semasa bayi, tanpa dosa keji sekali gus sucinya rohani.

6. Soalnya, apakah proses kembali itu berlaku pada Aidilfitri begitu sahaja? Tidak! Proses kembali itu bermula pada bulan Ramadan! Maka, dengan memahami begini, saya merenung perihal anak kembali kepada ibu itu sebenarnya sudah pun bermula ketika Ramadan menjelma dan Ramadan memang jika direnung kembali umpama ibu yang sudah lama kita abaikan. Kedatangan bonda itulah kita sebagai anak-anak kembali merangkul hangat kasihnya, tenang dakapnya. Ramadan - dengan penuh sakinah, mawaddah dan rahmah. Medan tarbiyyah diri yang sudah lama kita abaikan. Berbeza dengan para wali Allah yang seluruh hidupnya adalah Ramadan!

7. Di sini, datanglah kisah ketiga. Kedudukan Ramadan. Suatu hari dalam bulan Ramadan ini dikisahkan kepada kami tentang hakikat Ramadan oleh Guru yang mulia hafizahullahutaala. Bermula dengan faham popular, "menjadi hamba rabbani bukan hamba ramadani", beliau memanjangkan lagi syarah.

8. "Ramadan ini semacam jambatan, penghubung, tali pengikat. Ramadan ini seperti nafas yang menghubungkan jasad dan roh. Tanpa nafas, roh tidak menempati jasad, jasad pula tidak bernyawa. Pentingnya nafas sebagai isyarat yang menghubungkan kedua-duanya."

9. "Begitu juga, Ramadan ini seperti zikir yang menalikan hati dengan Allah Taala. Tanpa zikir, hati tidak mengingati Allah Taala, Allah Taala pula tidak memandang hati kering dari mengingatiNya. Pentingnya zikir sebagai alat menalikan insan dengan Tuhan. Lantaran itu sebesar-besar zikir adalah solat. Walizikrullahiakbar"

10. "Maka, begitulah Ramadan. Ramadan mengikat faham dan rasa zahir dengan batin. Kudrat yang nampak dengan iman yang ghaib. Bila kita lapar, kita lihat kudrat melemah namun kita nikmat kerana tidaklah kita berpuasa melainkan kerana beriman denganNya. Puasa satu-satunya ibadah tiada siapa dapat melihat kita melaksanakannya melainkan ia istimewa antara kita dengan Sang Pencipta. Syuhud kepada Dia."

11. Demikianlah inti perenggan kedua. Dan disimpulkan kembali persoalan pokok bersandarkan kisah kedua dengan perenggan terakhir.

Alhamdulillah. Moga bermanfaat :)

Za'im Yusoff
ETS Penang-KL
12 Ramadan 1439H
28 Mei 2018

Sebarkan Manfaatnya! :)